Home » Langit Terbuka » MIHAS 2022 sedia pacu, rancakkan momentum pertumbuhan ekonomi halal

MIHAS 2022 sedia pacu, rancakkan momentum pertumbuhan ekonomi halal

MIHAS 2022 merupakan platform terbaik untuk pemain tempatan memasarkan produk serta perkhidmatan halal masing-masing kepada para pembeli global. - Foto MIHAS

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meneruskan misinya untuk terus merangsang pertumbuhan perdagangan rentas sempadan dengan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18.

 

Pameran tersebut akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur selama empat hari bermula 7 hingga 10 September ini dan diadakan serentak secara digital di pentas global.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, acara terulung itu akan memanfaatkan alat-alat digital bagi membantu pemain tempatan memasarkan produk serta perkhidmatan halal masing-masing kepada pembeli global.

 

“MIHAS 2022 akan membantu usahawan-ushawan mikro kecil seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meninjau peluang dan mengambil bahagian di dalam rangkaian bekalan eksport produk halal di luar negara sekali gus memperkukuhkan daya saing mereka di pasaran global,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

 

Pada masa sama, Abu Bakar berkata minat dan penyertaan yang lebih menggalakkan dalam pasaran halal yang kian berkembang merupakan satu petanda positif yang diharapkan daripada pameran tahun ini.

 

“Tahun ini adalah tahun yang ke-18 MATRADE akan menganjurkan pameran MIHAS sejak dari tahun 2004. Sebenarnya impak kepada ekonomi negara dan rantau Asia adalah dapat kita lihat dari tahun ke tahun terdapat peningkatan produk halal kita.

 

“Selain itu, impaknya pada tahun ini adalah dijangkakan pengeksport produk halal Malaysia ke pasaran global akan mencecah nilai RM40 bilion dan itu merupakan impak secara terus kepada ekonomi negara serta akan terus menyumbang dengan lebih baik,” katanya.

 

Pameran halal terbesar di peringkat antarabangsa, MIHAS 2022 disasarkan menarik penyertaan 1,200 pempamer yang terdiri daripada syarikat tempatan yang mempromosikan produk halal, selain 250 pembeli luar negara yang dikumpulkan melalui rangkaian 46 pejabat MATRADE di seluruh duniaserta lima pembeli premium. – Astro Awani

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *