PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjelaskan mesej yang ditularkan oleh pihak tertentu berhubung etika pemakaian seperti ke pejabat pada hari mengundi yang akan dilaksanakan 9 Mei ini adalah tidak benar.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, SPR tidak pernah dan tidak akan menghalang seseorang pengundi dari memasuki tempat mengundi asalkan ianya tidak menyalahi Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Seskyen itu menetapkan bahawa seseorang pengundi adalah dilarang sama sekali memasuki tempat mengundi sekiranya mereka memakai apa-apa pakaian dan peralatan yang memaparkan nama calon, simbol atau lambang parti politik pada hari mengundi,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu, SPR menasihati orang ramai agar berhati-hati dan menapis penerimaan maklumat yang tidak sahih berkaitan pilihan raya yang tersebar melalui media sosial.
Orang ramai diminta merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat dengan menghubungi talian 03-88927018. – K! ONLINE
KOMEN