Home » Langit Terbuka » Merakyatkan al-Quran

Merakyatkan al-Quran

Membaca al-Quran harus menjadi budaya dalam kehiduapan masyarakat. Foto : wiropendekarmuslim.files.wordpress.com

KOTA BHARU 10 Jan.  – Satu kesan abadi rentetan tragedi kebakaran sebuah maahad tahfiz di Kuala Lumpur, berlandaskan kempen MyFamily #QuranHour, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) memperluaskan usaha memartabatkan institusi kekeluargaan dengan menganjurkan program RICH (Rahsia Insan Cemerlang Hidup).

Memilih Masjid Mukim Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan sebagai lokasi program, waktu jam 4.30 pagi hingga 8.30 pagi yang dipilih adalah masa yang tepat dalam mencari ‘9 Rahsia Luqman’.

Menariknya pada pagi Jumaat, 12 Januari ini, dijangkakan beberapa tetamu kehormat hadir, antaranya Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, Penasihat Modul Rumah Ngaji, Tuan Fazrul Ismail, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Datuk Ahmad Sukari Halim dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Timur (Kelantan), Mahadi Awang serta empat peneraju utama al-Quran termasuk imam besar, imam masjid negeri dan qari-qari pilihan.

Umat Islam belum terlewat belajar al-Quran

Bagi Che Mohd Rahim, setiap masyarakat adalah pemimpin dan untuk menjadi masyarakat yang baik ialah menerusi cara mereka sendiri yang perlu ada garis panduan yang jelas dalam hidup, iaitu garis panduan berdasarkan al-Quran.

“Sudah ditegaskan bahawa al-Quran tiada sebarang unsur yang tidak yakin dan semuanya adalah kebenaran.

“Saya menyokong hasrat YWUI yang ‘merakyatkan al-Quran’ atau memasyarakatkan al-Quran dengan budaya al-Quran dengan menilai kandungan dan arahan dalam al-Quran,” katanya.

Che Mohd Rahim berkata, umat Islam masih belum terlewat untuk belajar al-Quran kerana mereka boleh belajar bila-bila masa dan di mana-mana, kerana di negeri ini, terdapat lebih 500 masjid bersedia memberi khidmat kepada masyarakat untuk mempelajari al-Quran. Kata beliau, bukan sekadar itu, sekiranya mereka memerlukan khidmat nasihat, mereka juga boleh merujuk Pejabat Agama Jajahan atau JAHEAIK.

“Ini adalah perkara yang baik, jadi saya menyeru seluruh masyarakat yang mampu, sama ada jauh atau dekat untuk hadir bersama demi masa depan hari ini dan masa hadapan,” katanya.

Bapa kena banyak ilmu kekeluargaan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWUI, Marhaini Yusoff berkata, bukan sahaja orang dewasa termasuk bapa, datuk, ibu dan nenek, tetapi program RICH juga sesuai diikuti oleh anak-anak.

“Kita mahu setiap orang tahu peranan dan tanggung jawab masing-masing terutama bagi pemimpin keluarga iaitu bapa dan datuk, mereka adalah fokus utama.

“Jangan hanya meletakkan tugas mendidik anak diberikan kepada ibu atau nenek sahaja, sedangkan orang lelaki sebenarnya yang perlu mempunyai banyak ilmu kekeluargaan, lebih terdedah dengan khutbah pada hari Jumaat dan ceramah agama,” katanya.

Marhaini berkata, program RICH itu nanti turut mengajak anak-anak kerana ia memberi keinsafan kepada semua orang supaya tahu tanggungjawab diri dalam keluarga.

“Sebagai anak, mereka juga ada peranan dalam keluarga, sekaligus usaha ini mampu membina membina keluarga bahagia.

“Kita juga mahu majlis ini bukan hanya dijalankan di satu masjid, tetapi biar 10 masjid lain di daerah-daerah turut sama melakukannya dalam menyelesaikan masalah sosial remaja pada hari ini,” katanya.

Guna pendekatan surah Luqman ayat 12-19

Kata Marhaini, program RICH memilih surat Luqman yang memetik Ayat 12 hingga 19 yang lebih tepat mengajar umat Islam bagaimana mendidik anak-anak.

“Kita akan mengadakan Training of Trainers (TOT) surah Luqman, yang mana di dalam al-Quran tercatat 17 kali dialog ibu bapa dan anak.

14 kali dialog antara ayah dan anak. Dengan ibu hanya dua kali. Satu kali tak dinyatakan.

“Ini menunjukkan pentingnya komunikasi ayah dan anak. Ayah tidak boleh jadi ‘ayah bisu’. Perlu ada komunikasi,” katanya.

Menurutnya, kerjasama dari Kampus Kesihatan USM, JAHEAIK dan Yadim sangat dihargai, selain beberapa pihak berkaitan.

“Kita bangkit awal pagi sebelum Subuh untuk sama-sama menghayati dan muhasabah diri dan pelbagai pengisian akan dijalankan bagi menyemarakkan misi MyFamily #QuranHour, ini adalah sebahagian daripada usaha World #QuranHour yang mahu mengukuhkan keluarga dengan al-Quran.

“Ayah sebagai pemimpin perlulah bawa anak-anak untuk masuk syurga, manakala datuk atau nenek adalah ‘role model’, jadi program RICH ini mengajak ahli keluarga di Kelantan pada pagi Jumaat ini sama-sama mendokong pesan Luqman yang terkandung dalam al-Quran,” katanya.

“Surah Luqman menjadi rujukan kerana ia mengandungi nasihat dan tunjuk ajar kepada pemimpin dalam mendidik anak-anak menjadi soleh atau solehah serta diredai ALLAH.

“Kita perlu menekankan ilmu mengenali ALLAH SWT bagi mengelak ancaman fitnah dalam situasi hari ini. Masyarakat hebat bermula dari dasarnya iaitu di peringkat kanak-kanak, belia hinggalah mereka dewasa. Kita tanam sifat mulia dari peringkat awal ini.

“Ini program yang memberi keinsafan dan sebagai Muslim, kita patut beri sumbangan kepada belia bermasalah, tidak mengutuk mereka, sebaliknya bimbing mereka berlandaskan al-Quran, Baca, Faham dan Amal,” katanya.

“Ibu bapa pula perlu muhasabah dalam mendidik anak-anak supaya mereka tidak derhaka dan beri pendidikan yang betul termasuk mengutamakan adap sopan,” katanya. SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *