Home » Kenyataan Media » MENJUNJUNG TAAT SETIA DI ATAS TITAH PERKENAN PROKLAMASI DARURAT OLEH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

MENJUNJUNG TAAT SETIA DI ATAS TITAH PERKENAN PROKLAMASI DARURAT OLEH KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Assalammualaikum WBT
Salam Sejahtera,

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan juga Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang menaungi lebih 300 NGO Islam, menjunjung taat setia dengan sepenuhnya di atas titah perkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda dengan penuh kebijaksanaan sebagai ketua negara telah memberi perkenan agar Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara bermula pada 12 Jan 2021 sehingga 1 Ogos 2021, sebagai langkah penting dan berkesan untuk membendung wabak COVID-19 demi keselamatan nyawa rakyat dan kesejahteraan negara.

Sudah pasti sebagai rakyat jelata, kita wajib mentaati arahan Pemerintah yang adil dan bertanggungjawab. Sementelah urusan ini termasuk dalam tuntutan agama dan menepati maqasid syariah bagi menjaga nyawa rakyat dan kemakmuran negara.

Sehubungan itu, YADIM sebagai institusi dakwah utama negara sudah pasti menyokong penuh segala usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan berdasarkan statistik semasa COVID-19 yang sangat serius peningkatannya yang telah mencemaskan negara.

Di antara perkara utama Proklamasi Darurat ialah mencadangkan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan amatlah bertepatan disamping urusan memperkasakan perpaduan negara dapat dipupuk sebaiknya merentasi kaum dan agama serta merentasi ideologi politik dapat dizahirkan demi kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Sebagai langkah berkesan memutuskan rantaian Covid19, YADIM menyeru dan merayu kepada semua pemimpin NGO Islam dan pemimpin masyarakat serta rakyat agar terus berdisiplin mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) juga semua perintah yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

YADIM akan terus memainkan peranan yang berkesan bagi menjadi jambatan menyampaikan informasi dan agenda negara diantara kerajaan dan rakyat.

YADIM jua memberi komitmen tinggi untuk melestarikan gerakerja dalam menyampaikan dakwah, memberi kesedaran dan peringatan kepada umat Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar segera di angkat musibah ini dan melimpahkan rahmatNya untuk kita semua.

Firman Allah SWT,
“Berdoalah kepada-Ku, Aku akan kabulkan doa kalian. Sungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri kerana enggan beribadah kepada-Ku, akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam dalam keadaan hina dina”,
(Surah Al-Ghafir : 6)

Sekian,

Ustaz Haji Nasruddin Hassan
Yang Dipertua
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

29 Jamadil Awal 1442H
13 Januari 2021

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *