Home » Langit Terbuka » Meninggal ketika imamkan solat Zuhur

Meninggal ketika imamkan solat Zuhur

IMAM Masjid Imam Muslim, Belimbing Dalam, Allahyarham Mohamad Hashim Kechik dibaringkan oleh para jemaah sebaik sahaja dia tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di masjid itu di Alor Gajah, Melaka tengah hari tadi. - UTUSAN ONLINE/Ihsan Pembaca

ALOR GAJAH 30 Jan. – Seorang imam Masjid Imam Muslim, Belimbing Dalam di sini meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mengimamkan solat Zuhur di masjid itu di sini tengah hari tadi.

Allahyarham Mohamad Hashim Kechik, 78, yang merupakan imam satu di masjid tersebut menghembuskan nafas terakhir ketika menunaikan solat pada rakaat ketiga di hadapan lebih tujuh jemaah.

Salah seorang jemaah, Syamsul Ab. Rahman berkata, sebelum kejadian arwah duduk di antara dua sujud dan bersedia untuk bangun bagi meneruskan rakaat keempat.

“Saya nampak arwah tekan tangannya di sejadah untuk bangun namun dia tidak berupaya lalu beristighfar sebanyak tiga kali sebelum terus memberi salam.

“Kemudian beberapa jemaah bertindak membaringkan imam di atas riba seorang jemaah lain, namun dalam beberapa minit sahaja nafasnya terhenti,” katanya ketika ditemui di masjid itu petang ini.

Pasukan paramedik dari Klinik Kesihatan Durian Tunggal tiba kira-kira pukul 1.45 petang dan mengesahkan Mohamad Hashim telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Jenazah Mohamad Hashim dibawa pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abd. Aziz ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *