Pada 19 September ini, hampir 300 wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini akan berhimpun dan mengadakan pertemuan dengan barisan kepimpinan negara.
Pertemuan itu merupakan detik bersejarah dan amat penting dalam memperlihatkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan NGO Islam di negara ini dalam pelbagai aspek termasuk memacu pembangunan negara.
Sememangnya, peranan NGO Islam ini adalah sangat penting kepada negara dan ummah kerana ia mampu menjadi benteng terhadap pelbagai cabaran mendatang yang begitu hebat.
Pertemuan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu juga adalah selaras dengan peranan YADIM sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan bagi menyelaras badan-badan Islam di negara ini.
Dalam kerangka itu, YADIM telah menubuhkan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang menggabungkan NGO-NGO Islam di negara ini dengan hasrat membentuk satu kesatuan yang ampuh dalam mendepani pelbagai cabaran.
Gabungan NGO Islam ini sudah pasti membentuk kekuatan yang jitu kepada gerakan dakwah di negara ini apatah lagi jika ia dirangka, disusun dan dilaksanakan dengan secara tersusun dan sistematik.
KOMEN