Home » Resensi » Menghayati Falsafah dan Hikmah Solat

Menghayati Falsafah dan Hikmah Solat

Tajuk Buku: Solat Itu Mudah

Penulis: Zulkifli Muhammad Al-Bakri

Penerbit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Tahun: 2017

No ISBN: 978-967-5128-31-8

Pengulas: Shaharom TM Sulaiman

Berdasarkan berbagai keterangan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, dapatlah dikatakan bahawa solat adalah kewajipan peribadatan yang paling penting dalam sistem keagamaan Islam. Al-Quran banyak memuat perintah agar kita mendirikan solat, yakni menjalankannya dengan penuh keikhlasan, dan menggambarkan bahawa kebahagiaan orang-orang beriman adalah dalam ibadah solatnya yang dilakukan dalam kekhusyukan dimana ia secara langsung “berdiri dan berdepan” dengan Pencipta-Nya. Dalam sebuah hadis Nabi SAW menegaskan, “Yang pertama akan diperhitungkan tentang seorang hamba pada hari kiamat adalah solat; jika baik, maka baik pulalah seluruh amalnya.”

Penegasan sedemikian rupa menjadikan solat bukan sekadar ibadah ‘ritual’ yang wajib didirikan tetapi wajib diiringi dengan kefahaman yang mendalam akan hikmah dan falsafah ibadah solat itu sendiri yang bermakna kita sepatutnya memahami makna solat itu sebaik mungkin.

Oleh yang demikian, kehadiran buku Solat Itu Mudah amat dialu-alukan untuk membantu dan mempermudahkan kefahaman kita tentang ibadah solat. Menurut penulis (Zulkifli Muhammad Al-Bakri), buku ini memfokuskan isu solat kerana solat adalah sepenting-pentingnya rukun Islam selepas bersyahadah. Kedudukan dan hikmah solat dalam kehidupan manusia menjadikan seseorang yang sentiasa melaziminya dapat menghadapi badai kehidupan dan melaksanakan kehidupan dengan sebaik mungkin. Buku ini juga menunjukkan kepada kita bahawa betapa mudahnya ibadah solat dapat dikerjakan tanpa mengira situasi mahupun lokasi bahkan tidak memerlukan masa yang panjang dalam kehidupan seharian kita.

Buku ini turut menjelaskan hukum-hakam dan cara-cara solat yang lengkap beserta dengan kupasan dalil-dalil dengan terperinci dan dipersembahkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Bermula dengan takbir pembukaan solat yang dinamakan ‘takbiratul ihram’ yang mengandungi erti “takbir yang mengharamkan”, yakni mengharamkan segala tindakan dan tingkah laku yang tidak ada kaitannya dengan solat sebagai peristiwa menghadap Tuhan.

Takbiratul Ihram itu seakan-akan pernyataan formal seseorang membuka hubungan diri dengan Tuhan, (hablum minallah) dan mengharamkan atau memutuskan diri dari semua bentuk hubungan dengan sesama manusia (hablum minannas). Maka makna ‘dalaman’ solat diisyaratkan dengan erti simbolik takbir pembukaan itu yang melambangkan hubungan dengan Allah dan menghambakan diri kepada-Nya. Jika disebutkan bahawa tujuan penciptaan jin dan manusia oleh Allah agar mereka menghamba kepada-Nya, maka wujud simbolik terpenting penghambaan itu ialah solat yang dibuka dengan takbir tersebut, sebagai ucapan pernyataan dimulainya sikap menghadap Allah.

Selanjutnya orang yang melakukan solat hendaknya menyedari sedalam-dalamnya akan kedudukannya sebagai makhluk yang sedang menghadap “Khalik-nya (Allah) dengan penuh kesyahduan dan kekhusyukan. Sedapat mungkin ia menghayati kehadirannya di hadapan Tuhan Maha Pencipta itu sedemikian rupa sehingga ia “seolah-olah melihat Khaliknya”; dan kalaupun ia tidak melihat-Nya, ia harus menginsafi sedalam-dalamnya bahawa “Khaliknya sedang melihatnya”. Orang yang melakukan solat menemukan salah satu makna yang amat penting dalam ibadatnya, iaitu penginsafan diri akan adanya kehadiran Tuhan Yang Maha Adil serta menyedari bahawa solat disyariatkan agar manusia sentiasa memelihara hubungan dengan Penciptanya agar wujud keinsafan sedalam-dalamnya akan ke-Maha-Hadiran-Nya.

Demikianlah indahnya ibadah solat yang memberi pengaruh besar dalam kehidupan kita. Buku setebal 110 halaman ini mampu memberi dimensi baharu kepada kita dalam menyegarkan kembali pemahaman kita terhadap ibadah solat yang telah kita kerjakan selama ini. – MAJALAH DAKWAH

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *