KUALA LUMPUR, 20 Mac ― Seorang pelajar cemerlang memandang masa depan suram selepas tiada dokumen yang membuktikan dirinya warganegara Malaysia.
Permohonan warga negara Roisah Abdullah, yang fasih berbahasa Melayu dan menyukai nasi lemak, ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara beberapa kali.
“Pihak berkuasa kata mereka tidak pasti siapa ayah saya, yang tinggalkan ketika saya lahir, mereka tidak boleh memberikan kerakyatan kepada saya.
“Namun saya memang tinggal di Malaysia, bukan negara-negara lain, jika tidak di Malaysia, ke mana lagi saya pergi?” katanya kepada Malay Mail.
Mendapat 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Roisah menjadi anak angkat seorang tukang jahit.
Satrah Nabowah, warga Malaysia, memeliharanya sebagai anak sejak dilahirkan. Gadis itu pernah memohon kerakyatan pada 2011 dan 2013 tetapi ditolak.
Bekas penuntut SMK Sungai Kapar Indah hanya mempunyai keputusan peperiksaan. Tanpa sijil lahir dan kad pengenalan, beliau tidak dapat masuk universiti.
“Hari jadi saya bakal menjelang pada 25 April, saya harap menjadi warga negara Malaysia sebagai hadiah hari jadi terindah buat saya,” katanya lagi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah berkata kanak-kanak tanpa dokumen boleh bersekolah sementara menunggu permohonan warganegara.
Namun beliau, juga menteri dalam negeri, tidak menyebut sama ada mereka yang mengalami nasib malang itu boleh melanjutkan pelajaran ke universiti.
Mesra dipanggil Roi, peminat Neelofa itu berdepan diskriminasi ekoran ketiadaan dokumen tersebut walau membesar dan ramai rakan di Klang.
“Saya tidak boleh membuka akaun bank, saya tiada apa-apa dalam hidup saya. Saya tidak boleh dapat lesen memandu, macam saya ini tidak wujud,” katanya.
“Kenapa saya dilayan tidak macam orang lain? Saya lahir di Klang dan membesar di sana, saya fasih bahasa Melayu dan semua rakan warga Malaysia.”
“… tidak adil saya terpaksa harungi situasi yang saya tidak dapat kawal. Saya ada cita-cita dan saya masih muda.
“Saya tidak mahu berputus asa dan hilang arah, tapi ia memang berat.” – Malay Mail
KOMEN