SHAH ALAM – Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Shah Alam, hari ini (26 Februari), atas pertuduhan memuat naik komen yang menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook, Selasa lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, A Taneson, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan laman sosial Facebook dengan nama Sarkar Tanesan memuat naik satu hantaran jelik terhadap Nabi Muhammad SAW pada 19 Februari lalu, 11.40 pagi.
Tindakan tertuduh itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci-membenci atau niat jahat di atas alasan agama antara kumpulan orang beragama Islam dengan bukan beragama Islam di negara ini.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 298A(1) Kanun sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memohon agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana kesalahan mengikut seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Kailashii Vasudevan Appu memohon diberikan jaminan dengan alasan anak guamnya perlu menjalani rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan syarat tambahan seperti perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.
Kes disebut semula 5 April depan bagi sebutan semula dan penyerahan dokumen. – Harian Metro
KOMEN