Kuala Lumpur – Tindakan segelintir pihak yang menggunakan elemen agama untuk mendoakan keburukan kepada orang lain kerana rasa tidak puas hati adalah tidak wajar.
Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, umat Islam diingatkan supaya berdoa yang baik-baik kepada sesama Islam seperti yang diajari oleh Nabi Muhammad SAW.
“Nabi SAW sentiasa mengajar para sahabat supaya berdoa kepada Allah kerana doa adalah senjata orang Mukmin.
“Malah, Allah SWT juga meminta supaya hambanya berdoa untuk memohon apa saja kerana kasih sayang Allah itu amat dekat dengan mereka yang berdoa seperti yang terkandung dalam surah al-Baqarah ayat 186.
“Namun, perlu diingatkan bahawa kita diajar oleh Nabi SAW supaya doa yang baik-baik kepada sesama Islam selagi mana orang itu tidak menzalimi kita.
“Kalau orang itu menzalimi kita pun kita tidak boleh mendoakan laknat atau kehancuran kepadanya tetapi doalah hidayah kepadanya supaya dia bertaubat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai orang Islam dan beriman kepada Allah, semua perlu belajar kembali adab-adab berdoa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
“Mendoakan keburukan orang Mukmin lain secara terbuka dan membabitkan orang lain yang tiada kaitan adalah tidak wajar kerana ini semua akan mengundang perpecahan umat Islam.
“Kita diarah untuk menyatu-padukan umat Islam bukan memecah belahkan termasuk dalam doa. Jadi, saya mohon supaya kita semua belajar kembali adab-adab berdoa yang diajar oleh Nabi SAW supaya kita tidak melampaui batas,” katanya. – Harian Metro.
KOMEN