Home » Langit Terbuka » Menara masjid dijadikan menara telekomunikasi

Menara masjid dijadikan menara telekomunikasi

Masjid Negeri, Seremban

SEREMBAN – Semua menara masjid di negeri ini akan dijadikan sebagai menara telekomunikasi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kebenaran tersebut bagi memudahkan kemudahan jalur lebar dapat diberikan secara menyeluruh termasuk di luar bandar.

Katanya, kemudahan jalur lebar secara percuma akan dilaksanakan di seluruh negeri ini bagi mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

“Kita telah bersetuju untuk menjadikan semua menara masjid di negeri ini sebagai menara menempatkan talian telekomunikasi.

“Dengan itu, penduduk sekitar boleh menikmati kemudahan jalur lebar secara percuma terutamanya di kawasan masjid.

“Bukan masjid di bandar sahaja tetapi kita akan pilih sekurang-kurangnya dua masjid di luar bandar untuk menikmati kemudahan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan dan Naik Taraf Masjid Kampung Bemban di sini.

Turut serta Mufti Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad, Pengarah JKR Datuk Abd Karim Mohd Tahir dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kamal Amran.

Pada majlis tersebut, Mufti Negeri turut mengumumkan bahawa Masjid Kampung Bemban telah ditauliahkan untuk mendirikan solat Jumaat, berkuat kuasa hari ini, manakala kebenaran Surau Taman Kelab Tuanku yang sebelum ini mendirikan solat Jumaat ditarik semula.

Jemaah di sekitar Mambau dan Kampung Bemban selepas ini, boleh mengerjakan solat Jumaat di Kampung Bemban.

Dalam pada itu, Mohd Yusof turut menasihatkan kepada ahli kariah masjid agar berhati-hati apabila menjemput penceramah luar untuk memberi ceramah agama.

Katanya, pastikan penceramah tersebut bertauliah dan benar-benar menyampaikan ilmu berdasarkan ajaran mazhab Syafie.

“Jika penceramah yang dijemput tidak bertauliah sila pastikan dia ( penceramah luar) dapat kebenaran khas daripada Jabatan Mufti bagi membolehkan kita meneliti lebih lanjut,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *