Home » Analitis » Memugar nilai ihsan dalam berniaga

Memugar nilai ihsan dalam berniaga

businessofdoingwell

Bermula 1 Februari kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak RON97, RON95 dan diesel. Tidak seperti kenaikan harga minyak yang mengundang pelbagai cemuhan dan makian pengguna terutamanya dalam media-media sosial, pengumuman penurunan harga minyak tidak pula mendapat pujian.

Demikianlah realiti manusiawi yang cukup mudah untuk diasak sentimen amarah dan benci berbanding dicanai rasa bersyukur jauh sekali untuk berterima kasih.

Rata-rata komentar menjurus kepada senario harga barang yang tampak masih tidak turun walaupun sudah beberapa kali pengisytiharan penurunan harga minyak dibuat kerajaan.

Memanglah kalau mengikut teori ekonomi, harga barangan dan perkhidmatan hakikatnya ditentukan oleh pasaran atau jumlah permintaan dan penawaran. Ini bermakna harga akan kekal tinggi sekiranya masih terdapat permintaan terhadap barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Sebab itulah ada asasnya apabila saranan Menteri Pertanian Datuk Seri Ismail Sabri agar pengguna menggunakan kuasa beli di tangan untuk memboikot mana-mana peniaga mahupun pemborong yang enggan menurunkan harga barangan.

Penulis tidaklah berhajat untuk mengulas panjang mengenai isu boikot-memboikot ini. Dalam penulisan kali ini, mungkin ada baiknya dikongsi prinsip ihsan dalam berurus niaga sebagaimana digariskan Islam.

Hakikatnya dalam Islam, ihsan merupakan satu nilai akhlak yang tahapnya adalah lebih tinggi daripada adil dan jujur yang juga merupakan prinsip akhlak yang wajib ada pada setiap peniaga. Imam Al-Ghazali sebagaimana yang dinukilkan dalam buku tulisan Dr Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Dawrul Qiyam wal Akhlak fi al-Iqtisad al-Islamiy, menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan ihsan ialah satu sifat seseorang peniaga yang bersedia dan berasa puas dengan mengambil untung yang sedikit demi keberkatan urus niaganya.

Seorang peniaga yang beriman pastinya akan meyakini bahawa urus niaga yang berkat tentu sekali akan ada penambahan atau disebut dalam istilah arab ‘az-ziyadah’ yang bakal dinikmati daripada urus niaganya.

Imam Al-Ghazali turut mengemukakan satu contoh bagaimana perlakuan ihsan dalam sesebuah urus niaga. Diriwayatkan daripada Muhammad Ibn Al-Munkadir, bahawa beliau mempunyai beberapa potong kain panjang. Sebahagian berharga lima dirham sehelai, manakala sebahagian yang lain berharga sepuluh dirham sehelai. Semasa beliau tidak berada di kedai, beliau menyerahkan kepada pembantunya yang kemudian menjual kain panjang yang berharga lima dirham dengan harga sepuluh dirham kepada seorang Arab Badwi. Apabila beliau pulang dan mengetahui hal demikian, lantas terus dicarinya Arab Badwi yang telah membeli barang jualan tadi. Sepanjang hari dicarinya sehingga ditemui beliau. Tatkala bertemu Ibn Al-Munkadir dengan pembeli tersebut, maka berkata beliau:

“Sesungguhnya pembantuku telah tersilap. Beliau menjual kepadamu kain yang harganya lima dirham dengan harga sepuluh dirham”. Pembeli Arab Badwi tersebut menjawab “Wahai Tuan! Aku telah bersetuju dengan harga itu.” Ibn Al-Munkadir menegaskan sekali lagi: “Meskipun kamu reda tetapi aku tidak reda untukmu kecuali apa yang aku redakan berlaku terhadap diriku sendiri. Maka pilihlah olehmu satu daripada tiga perkara: sama ada engkau ambil kain yang harganya sepuluh dirham, atau kami kembalikan kepadamu baki wangmu yang lima dirham itu, atau kami kembalikan barang kami dan kamu ambil kembali wangmu.”

Mendengar pilihan yang diberikan, maka pembeli tadi menjawab: “Berikanlah kepadaku baki lima dirham itu”. Lalu dikembalikan kepadanya lima dirham dan orang Arab Badwi itu pun pergi.

Demikianlah tingginya nilai ihsan dalam perniagaan yang bukan sekadar adil dan jujur, namun kesediaan peniaga untuk menerima keuntungan yang sedikit walaupun tampak tidak lumayan.

Inilah yang sebenarnya sukar untuk dipraktikkan oleh peniaga masa kini, lantaran lebih melihat kepada nilai keuntungan yang secara zahirnya nampak banyak dan lumayan, namun hakikatnya tiada keberkatan jika wujud unsur-unsur penyelewengan dan penyimpangan dek kerakusan nafsu manusiawi.

Sebab itulah Saidina Ali RA biasa berjalan mengelilingi pasar bandar Kufah dengan tongkat pemukul di tangannya, sambil berkata: “Wahai para peniaga, lakukanlah yang benar, nescaya kamu selamat! Janganlah kamu menolak keuntungan yang sedikit, sebab jika kamu menolaknya kamu tidak akan memperoleh keuntungan yang banyak!”

Sifat ihsan dalam berniaga inilah yang mendasari keperibadian para sahabat Nabi SAW yang aktif berniaga dan menjadi saudagar-saudagar besar yang akhirnya menyumbang kembali kepada perjuangan agama.

Moga-moga nilai Ihsan sebegini dapat dijiwai oleh setiap peniaga yang berhasrat untuk mendapat keuntungan yang berpanjangan lantaran urus niaga yang penuh keberkatan daripada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *