Home » Wacana » Memimpin hati ke arah ‘Ihsan’

Memimpin hati ke arah ‘Ihsan’

Oleh AHMAD NASIR MOHD YUSOFF

Seorang Muslim adalah individu yang sejahtera, selamat dan menyerahkan diri kepada Allah SWT serta tunduk dan patuh kepada segala perintah-Nya, meninggalkan larangan-larangan dan tegahan-tegahan-Nya di samping membenarkan berita dan apa sahaja yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW tanpa ragu atau syak wasangka. Ini diperjelaskan sepertimana sabda Baginda SAW: “Islam itu dibina atas lima perkara: Bersaksi bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan ibadah haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Manakala individu yang beriman adalah hamba Allah yang meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada Allah SWT, mengakui keesaan-Nya dan kenabian Nabi Muhamad SAW dengan lidah, membenarkan dengan hati dan menterjemahkan keyakinan melalui anggota pancaindera yang terkandung dalam maksud hadis Nabi SAW: “Beriman itu adalah percaya kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat dan percaya kepada qada dan qadar ada yang baik dan ada yang buruk’ ‘Iman itu bukan dengan cita-cita tetapi ialah apa yang tersemat di hati dan dibuktikan dengan perbuatan.” (HR al-Tirmidzi).

Sedangkan makna ‘ihsan’ pula iaitu membuat kebaikan kepada individu lain dalam apa bentuk kebaikan atau kebajikan dengan kondisi bahawa seolah-olah yang melakukan kebaikan itu melihat Allah SWT dan dalam hatinya menyakini Allah SWT melihat perbuatannya sepertimana sabda Rasulullah SAW: “….hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah)  melihat kamu.” (HR Muslim).

Maka dapat dijelaskan di sini perbezaan antara seorang Muslim dan seorang Mukmin. Muslim sepertimana yang dinyatakan di atas merujuk kepada hamba Allah SWT yang beriman kepada-Nya dengan penuh ketaatan terhadap semua ajaran yang disampaikan dan diajar Nabi Muhamad SAW dan seorang Mukmin pula adalah hamba Allah SWT yang meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada kewujudan Allah SWT dan mengamalkan sunnah yang diterapkan Nabi Muhamad SAW.

 

Tips menjadi Muslim sejati yang ihsan

Menjadi Muslim sejati, bukan suatu tugas yang mudah tanpa diiringi dengan panduan al-Quran dan al-Hadis. Manusia dianugerahkan akal untuk membezakan antara yang baik dan buruk, halal atau haram.

Beberapa panduan boleh dijadikan sebagai langkah pertama membentuk diri sebagai Muslim sejati yang ihsan antaranya:

  • Mengerjakan tuntutan ibadah atau urusan kerja bukan kerana manusia, tapi kerana Allah SWT dan berlaku jujur serta ikhlas. Seseorang itu dikategorikan sebagai hamba Allah yang ikhlas (mukhlis) apabila melakukan amalan dengan menghadirkan penglihatan Allah pada dirinya, pemerhatian Allah dan taqarubb-Nya dengan hamba-Nya. Apabila situasi ini terjadi dalam diri dan amalan, maka apa yang dilakukan itu dikategorikan sebagai hamba Allah yang ikhlas lantaran jiwanya sudah kosong daripada gangguan dan cabaran duniawi.

 

  • Kerja yang dilakukan mengikut SOP (standard operation prosedure) yang berpaksikan kepada peraturan syariat dalam al-Quran, hadis dan alim ulama yang mengamalkan ajaran Rasulullah SAW.

 

  • Muslim yang baik juga adalah Muslim yang sentiasa melahirkan rasa syukur dan terima kasih terhadap nikmat yang dikurniakan Allah SWT, berkongsi kesenangan dan kebaikan dengan ahli keluarga, rakan taulan dan jiran tetangga serta masyarakat terdekat.

 

  • Memastikan amalan dan pekerjaan yang dilakukan bermanfaat untuk diri dan orang lain serta dilakukan dengan terbaik agar diredai Allah SWT.

 

Hati juga perlu dididik agar sentiasa berada dalam landasan yang betul dan selaras dengan kehendak syariat Allah SWT antaranya:

1. Memastikan hubungan antara hati dan perbuatan selari dan setara kerana apabila baik hati, maka akan baik jasanya dan jika rosak hatinya, maka akan rosaklah jasadnya. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa ayat 125 yang bermaksud: “Dan tiadalah orang yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan…”

2. Melaksanakan ibadah dengan menimbulkan rasa khusyuk pada semua anggota pancaindera.

3. Tidak melakukan amal perbuatan yang boleh membatalkan keimanan.

4. Meninggalkan perbuatan yang tidak berfaedah atau sia-sia.

5. Bersikap mulia, akhlak yang baik dan sentiasa menghormati orang lain sama ada yang muda atau yang lebih tua kerana Nabi Muhammad SAW diutus untuk memperbaiki akhlak dan moral masyarakat Arab jahiliah pada ketika itu dan masih relevan hingga dasawarsa ini sepertimana sabda Baginda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian budi pekerti.” (HR Muwatta’, Ahmad dan lain-lain).

Muslim sejati sewajarnya menguasai imu-ilmu asas Islam bagi memantapkan dirinya sebagai insan yang baik di hadapan Allah SWT, dicintai oleh Rasulullah SAW dan para sahabat serta manusia lain. Pemantapan diri Muslim sejati penting agar diri tidak mudah goyah, iman tetap kental, Islam tetap terjaga dan matlamat untuk berjumpa dengan Allah SWT dan Rasul-Nya tercapai dalam kondisi memenuhi kriteria yang dinyatakan dalam al-Quran.

Kuasailah dan pelajarilah ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah bagi kesenangan, keamanan, ketenangan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Ilmu-ilmu fardu ain seperti tatacara solat yang betul mampu membentuk diri Muslim yang berdisiplin dan menepati waktu selain dapat mengeratkan hubungan antara ahli jemaah.

Berpuasa pula mampu mendidik nafsu buas, melahirkan batin yang sabar dan akan mendidik hati untuk sentiasa mengingati kesusahan orang lain yang memerlukan bantuan seperti fakir miskin.

Selain solat dan berpuasa, berzakat mampu mendidik hati daripada sifat bakhil, kedekut dan percaya rezeki yang diperolehi itu adalah datangnya daripada Allah SWT dan ada hak orang lain dalam harta-harta yang dimiliki. Harta-harta yang dimiliki sama ada dalam bentuk haiwan, emas perak, pertanian, saham, pendapatan dan lain-lain yang dizakatkan akhirnya akan menjadikan hati sentiasa bersyukur dan membentuk diri manusia menjadi Muslim sejati.

Pengisian-pengisian lain yang boleh diamalkan ialah dengan memastikan apa jua ilmu yang dipelajari mestilah diamalkan, membudayakan membaca al-Quran dan zikir-zikir yang ma’thur dan menjaga kebersihan diri serta akal kerana akal yang sihat pasti membuahkan jasmani yang cergas. Kita wajib menjaga amanah Allah terhadap tubuh badan kerana anggota tubuh badan merupakan pinjaman semata-mata yang boleh ditarik balik manfaatnya bila-bila masa sahaja jika manusia tidak menjaganya dengan baik.

Dekatilah para alim ulama agar jiwa sentiasa terpelihara daripada menderhakai Allah SWT agar kehidupan sentiasa dalam limpahan rahmat-Nya. Sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Bayyinah ayat tujuh yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.”

Dr Hj Ahmad Nasir Mohd Yusoff  ialah pensyarah kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

  

SUMBER : MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *