Impian Raden besar. Mahu menjadi wakil rakyat. Mahu membela nasib anak desa kelahirannya yang masih tidak terbela. Terbela dan diendahkan hanya bila tiba musim pilihanraya. Tidak kiralah pilihanraya kecil ataupun pilihanraya umum. Desa yang terletak dalam kawasan sang penguasa negara itu akan dibanjiri oleh ramai orang khususnya bila sang penguasa turun untuk menghulur bantuan yang hanya cukup untuk menampung keperluan seminggu.
Raden dan orang kampung bukan tidak bersyukur. Tetapi apalah gunanya pemimpin yang diangkat menjadi pembela rakyat jelata tetapi hanya menunjuk muka bila mahu meraih undi mereka. Raden tidak mahu menjadi wakil rakyat yang sebegitu. Raden mahu menjadi pemimpin yang selalu turun padang mendengar keluh kesah rakyat marhaen dan membantu apa yang termampu.
Sesetengah individu memang dianugerahkan ciri-ciri kepimpinan dalam dirinya. Dia suka apabila diberi tanggungjawab. Dia gembira apabila diberi amanah. Dia berasa hebat apabila diangkat menjadi orang penting. Orang sebegini lazimnya memiliki nilai kepimpinan semulajadi dalam dirinya seperti bijak mengendali orang bawahan dan mempunyai kemahiran komunikasi berpengaruh.
Namun, bukan sekadar itu. Segala ciri kepimpinan yang hebat itu tidak mencukupi sekiranya pemimpin tersebut tidak tahu cara untuk mendekati orang yang di bawah pimpinannya. Dia tidak boleh hanya berpidato, menabur janji-janji manis dan memiliki kebolehan mentadbir yang luar biasa tetapi lebih daripada itu dia perlu mempunyai sikap yang mampu menyentuh hati orang lain.
Sebagai contoh, dia berupaya menyelami kesedihan mangsa banjir dengan mendengar rintihan dan keluh kesah mereka dengan tekun dan turut sama merasai kesusahan mereka. Dia benar-benar menunjukkan keprihatinan melalui riak muka dan bahasa tubuhnya.
Video yang memaparkan isteri Recep Tayyip Erdogan, Emine Erdogan menangis sambil berpelukan dengan wanita Rohingya dalam misi bantuan Turki ke Arakan, Myanmar satu ketika dahulu menarik perhatian umum kerana beliau benar-benar menzahirkan kesedihan dan kedukaan melihat penderitaan masyarakat yang tidak diiktiraf kewujudan mereka di negara mereka sendiri itu.
Sentuhan insan merupakan kualiti khas, atau sesuatu yang dilakukan untuk setiap orang dalam satu kumpulan untuk membuat mereka berasa istimewa. Kalau di dalam sesebuah organisasi, amalan memberikan kad ucapan hari lahir bertandatangan kepada staf adalah antara perkara yang mampu membuatkan para pekerja tersentuh dan sedar mereka penting dalam organisasi tersebut.
Sentuhan insan atau sifat empati ini merupakan kemampuan seseorang untuk menyedari perasaan, kepentingan, kehendak, masalah atau kesusahan yang dirasai oleh orang lain. Kemampuan ini membolehkannya mengembangkan potensi orang lain, memahami perasaan dan permasalahan komuniti serta pemegang kuasa dalam sesebuah organisasi mahupun kepimpinan.
Kualiti sebegini kemudiannya membuka kepada binaan hubungan yang baik dan mesra. Hubungan yang baik dan mesra ini akan mewujudkan situasi yang positif dan interaksi dua hala antara pemimpin dengan masyarakat ataupun pekerja. Ini merupakan perlambangan kepada kepimpinan yang lebih berkesan dan disenangi.
Kita sedia maklum bahawa pemimpin terulung sudah tentunya Rasulullah SAW. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang bagi bagimu, iaitu bagi orang-orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat, dan dia banyak menyebut nama Allah.” (Surah al-Ahzab 33:21)
Baginda menjadikan diri Baginda sebagai contoh tauladan kepada umat yang dipimpin. Dalam satu kisah yang diriwayatkan ketika Rasulullah SAW menjadi imam solat. Bagaimana Baginda menahan diri daripada kesakitan sedangkan para sahabat yang menjadi makmum dapat mendengar dengan jelas bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh Rasulullah bergeser antara satu sama lain.
Lantas apabila ditanya dan melihat kerisauan di wajah para sahabatnya, lalu Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut apabila melihat perut Rasulullah yang kempis dililit dengan sehelai kain yang berisi batu kerikil untuk menahan rasa lapar. Baharulah mereka tahu, batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali tubuh Rasulullah bergerak.
Rasulullah sanggup menahan lapar kerana menganggap kelaparan itu sebagai hadiah Allah buatnya. Dan Baginda juga tidak mahu umatnya berlapar di dunia mahupun dia akhirat kelak. Besar sungguh pengorbanan dan kecintaan yang Rasulullah pamerkan sedangkan beliau seorang pemimpin yang sudah tentu boleh menerima pelbagai keistimewaan.
Pemerhati politik Indonesia, Yunarto Wijaya pula dalam sebuah diskusi awam suatu ketika dahulu telah mengatakan bahawa, pemimpin yang melakukan pendekatan ‘personal touch’ telah melaksanakan kaedah paling berkesan untuk mengetahui dan dikenali oleh masyarakat, bukan semata-mata dinilai melalui kempen yang berlebihan dan tidak jelas.
Robert Eaton, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Automotif Chrysler Corporation telah membentuk “Senior Management Behavior Team” yang merupakan satu program yang dirancang untuk melatih para pengurusan tertinggi agar mereka lebih mudah didekati, mampu mendorong, bertegur sapa dan mendengar masalah pekerja bawahannya.
Robert Eaton sering dilihat sebagai seorang pemimpin yang mudah dihubungi, memiliki kemampuan untuk memahami situasi dan bersedia mendengar serta memberi petunjuk dengan empati. Malah, beliau sering menjawab sendiri telefon untuknya dan kerap kali dilihat berbual-bual santai dengan para pengurus dan pekerja Chrysler.
Baik dalam bidang politik mahupun organisasi, inilah pemimpin idaman. Manusia akan tersentuh dengan sifat peribadi seseorang berbanding dengan pemberian material yang bersifat sementara.
Mereka senang apabila pemimpin yang mereka hormati bertanyakan khabar mereka dan keluarga dan sesekali berbual-bual kosong tanpa ada jurang antara mereka. Selain merasai beban kesusahan yang mereka tanggung tatkala dilanda musibah, kesakitan atau kematian.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka, dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari keliling mu. Oleh itu, maafkan mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila engkau telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal dengannya.” – Surah Ali-Imran 3: 159.
Raden berazam mahu menjadi pemimpin yang disenangi pengikutnya. Raden tidak mahu dilabel sebagai pemimpin berjiwa rakyat tetapi sekadar bergambar sambil memangku anak kecil dan menghulur sekampit beras. Kata ayah, apabila diutarakan tentang hasratnya itu, dia kekurangan elemen itu di dalam dirinya dan dia perlu belajar untuk menyerap elemen tersebut kalau tidak mahu menjadi pemimpin yang dia tidak senangi itu. Raden amat berpegang dengan pepatah yang menyebut “Jika kamu mahu dihargai oleh orang lain, hargailah mereka.”
KOMEN