Home » Persuasif » Membudaya solat jemaah demi ummah

Membudaya solat jemaah demi ummah

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD (rencana@utusan.com.my)

MASALAH perpecahan umat Islam di Malaysia bukan perkara baharu sebaliknya telah sedia maklum oleh semua pihak.

Secara umumnya terdapat dua faktor penyebab keadaan itu iaitu perbezaan politik serta fahaman mazhab. Kedua-dua faktor ini menyebabkan umat Islam terus berbalah sesama sendiri, paling ketara faktor politik.

Disebabkan berbeza ideologi politik, ada umat Islam yang terlalu taksub dengan parti mereka sanggup memutuskan hubungan saudara sesama Islam termasuk sesama keluarga dan kaum kerabat.

Situasi yang berlaku itu amat membimbangkan kerana perpecahan boleh menyebabkan kita menjadi lemah sekali gus membuka peluang kepada musuh-musuh Islam mengambil kesempatan menguasai pelbagai bidang termasuk politik. Jika itu yang berlaku akhirnya umat Islam yang merana.

Sehubungan itu menjadi tanggungjawab setiap ulama, ilmuwan dan cendekiawan Islam terutama dalam parti Melayu se­perti UMNO, Pas, PKR dan terbaru PAN memainkan peranan menyatukan umat. Secara jujur, golongan ini lebih arif tentang hukum-hakam berhubung hak-hak persaudaraan sesama Islam.

Bahkan menjadi tanggungjawab mereka juga untuk menasihatkan pemimpin-pemimpin utama parti-parti Melayu berkenaan sama ada kerajaan atau pembangkang sekiranya terdapat antara pemimpin terbabit enggan terlibat dengan usaha-usaha ke arah perpaduan.

Jangan sesekali kita lupa, apa jua pendirian politik masing-ma­sing, semua umat Islam negara ini berpegang kepada akidah, kitab dan menghadap kiblat yang sama seperti mana syariat dibawa oleh junjungan Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu.

Alangkah ruginya jika ilmu itu tidak dimanfaatkan bagi me­nyatukan umat Islam seluruhnya tanpa mengira latar belakang politik tetapi lebih digunakan untuk menjaga kelangsungan politik serta habuan dunia semata-mata.

Dalam hal tersebut Rasulullah SAW dalam satu hadis pernah bersabda: “Janganlah sesekali ke­gerunan seseorang kepada manusia menegahnya untuk me­nyatakan kebenaran apabila dia mengetahui.” – Riwayat Tirmizi.

Jelas, setiap individu yang tergolong dalam kumpulan ulama dan barisan agamawan bertanggungjawab memberitahu barisan kepimpinan parti mereka tentang kewajipan bersatu-padu. Hal ini kerana mereka amat arif tentang hukumnya di sisi syarak.

Seperkara lagi mereka yang enggan menjalinkan silaturahim hukumannya adalah amat keras iaitu tidak akan masuk ke ­syurga Allah SWT. Adakah ini yang kita mahukan semata-mata terlalu taksub kepada habuan dunia yang bersifat sementara.

Namun begitu penulis tetap bersyukur kepada Allah SWT berikutan timbul kesedaran beberapa pihak khususnya para agamawan dan cendekiawan ilmuwan Islam termasuk beberapa pemimpin parti politik terutama UMNO dan Pas tentang keperluan menggerakkan beberapa strategi untuk menyatukan umat Islam memandangkan masalah perpe­­cahan yang semakin parah.

Atas kesedaran tersebut, Maj­lis Dakwah Malaysia (MDN) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menggerakkan satu usaha besar-besaran bagi tujuan menyatukan umat Islam di negara ini melangkaui sentimen politik dan perbezaan mazhab.

Gerakan pertama melalui peng­anjuran Multaqa Perpaduan Ummah pada 18 Mei lalu yang membabitkan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hasil respon positif perhimpunan tersebut, MDN dan Yadim sekali menggunakan platform yang sama menghimpunkan pula golongan agamawan pada 20 Julai lalu di Bandar Baru Bangi bagi mencari jalan terbaik dalam usaha memulihkan segera penyakit pecah-belah masyarakat Islam di negara ini.

Para agamawan cukup sedar tentang keperluan itu kerana tanpa kesepaduan umat yang jitu dikhuatiri masyarakat Islam akan lemah dan akhirnya mengemis di negara sendiri.

Pelbagai idea dan buah fikiran dilontarkan dan antara paling menarik membudayakan segera solat jemaah di semua masjid dan surau seluruh negara.

Mengulas syor tersebut bekas seorang pensyarah universiti tempatan, Dr. Mohd. Arshad Taib ketika memberi pandangannya berkata, pendekatan solat jemaah adalah terbaik bagi menyatupadukan umat Islam kerana itu adalah kaedah yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Beliau yang kini bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Perlis berpandangan sebaik-sebaiknya semua pihak termasuk kerajaan mengambil perhatian tentang cadangan tersebut dan langkah pertama ke arah itu perlu dimulakan.

Mengambil contoh solat subuh secara berjemaah, beliau menarik perhatian para agamawan yang lain tentang kekurangan jumlah saf yang begitu ketara.

Sehubungan itu satu usaha lebih agresif perlu dilakukan bagi menggalakkan umat Islam negara ini khususnya lelaki menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.

Perkara yang sama turut di­sentuh oleh pakar motivasi ter­kenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Saupi Man berhubung keperluan me­nyempurnakan kewajipan bersolat serta kepentingan solat berjemaah dalam usaha menyelesaikan masalah perpecahan umat di negara kita.

Pandangan tiga individu ini cukup berasas memandangkan kewajipan bersolat khususnya solat jemaah adalah perkara yang sering diabaikan oleh umat Islam di Malaysia dan akhirnya membuatkan manusia semakin jauh daripada rahmat Allah.

-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *