Home » Wacana » Memanfaatkan Lima Keadaan…

Memanfaatkan Lima Keadaan…

SALAH sebuah hadis Rasulullah s.a.w berbicara tentang “Menjaga lima keadaan sebelum datang  lima keadaan yang lainnya.” Hadis itu adalah (dengan sedikit perubahan redaksional) sebagai berikut: “Jagalah lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain. Iaitu: Jaga masa sihat sebelum datang waktu sakit, jaga masa muda sebelum datang masa tua, jaga masa kaya sebelum datang waktu sempit, dan jaga masa hidup sebelum datangnya maut.”

Pesan yang terkandung di dalam hadis tersebut sangat universal sifatnya dan ditujukan bukan hanya untuk umat Islam sahaja, malahan untuk seluruh umat manusia. Nabi Muhammad s.a.w meminta kita untuk memanfaatkan waktu sihat, muda, kaya, luang dan saat kita masih hidup, sebaik-baiknya sebelum semua yang kita miliki itu berubah 180 darjah menjadi kebalikannya.

Hadis ini dianggap sebagai “ajaib” kerana memang makna yang terkandung di dalamnya sangat luar biasa.

Manfaatkan Waktu Sihat Sebelum Waktu Sakit

Kita akan merasakan berharganya sihat ketika sedang terbaring tidak berdaya di tempat tidur kerana sakit. Kalau kita dirawat di hospital, kita makin merasakan betapa mahalnya keadaan sihat. Melihat pesakit, yang untuk bernafas saja perlu dibantu dengan tabung oksigen, hati kita menjadi terusik. Betapa Allah s.w.t telah memberikan oksigen kepada kita dengan percuma, tetapi tidak pernah kita sedari sehingga kita selalu lupa mensyukurinya.

Memang, sesuatu yang kita miliki baru terasa sangat berharga ketika sudah hilang atau tidak lagi kita miliki. Begitu juga dengan kesihatan. Ketika ia hilang daripada kita, dunia bagaikan hanya seluas ruang di mana kita terbaring atau dirawat. Oleh kerana itu, Nabi Muhammad s.a.w mengingatkan, agar kita memanfaatkan saat-saat sihat untuk melakukan aktiviti yang positif dan produktif. Sebab ketika kita sedang sakit, kita akan disibukkan oleh usaha menyembuhkan penyakit meskipun ada juga orang yang dalam keadaan sakit sekalipun, tetapi masih tetap boleh melakukan hal-hal positif dan produktif. Orang seperti ini memang sangat jarang kita temui kerana mereka adalah sosok peribadi pejuang sejati. Namun apa yang jelas, dalam masalah kesihatan, Islam sangat preventif. Prinsipnya “lebih baik mencegah daripada mengubati.”

Di dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Pertanyaan pertama yang diajukan kepada seorang hamba pada hari Kiamat kelak mengenai kenikmatan dunia adalah, ‘Bukankah Aku telah memberimu badan yang sihat?’…” (Riwayat at-Tirmidzi)

Ternyata berbadan sihat itu juga harus dipertanggungjawabankan di hadapan Allah di Yaumil Mahsyar kelak. Maka alangkah ruginya bila keadaan sihat itu disia-siakan. Apalagi kalau badan yang sihat itu “sengaja” dibuat sakit dengan cara mengkonsumi makanan dan minuman yang haram atau dirosak dengan dadah.

Gunakan Masa Muda Sebelum Masa Tua

Masa muda adalah masa di mana tenaga seseorang sedang melimpah ruah. Dia laksana magma yang siap meledakkan gunung yang tinggi lagi kukuh. Potensinya untuk melakukan sesuatu yang besar sangat mungkin terjadi di masa ini. Ini bukan bererti di masa tua seseorang tidak boleh melakukan sesuatu yang hebat. Tidak begitu. Seseorang yang bijak memanfaatkan usia mudanya, dia tidak akan kehilangan idea-idea segar dan kreatif ketika usia tua menghampirinya. Dia tetap berupaya befikir secara rasional.

Ingat saja Rasulullah s.a.w, menjunjung dan membawa risalah kenabian / kerasulan pada usia matang, 40 tahun. Dan setelah itu, baginda mencipta prestasi yang luar biasa kehebatannya.

Rasulullah s.a.w yakin bahawa potensi besar terjadinya perubahan, kemenangan dan kejayaan berada di tangan kaum muda. Maka baginda berhijrah ke Yatsrib (yang kemudian berganti nama menjadi Madinah), orang yang menyertai perjalanan hijrah baginda dan Abu Bakar as-Siddiq ada adalah pemuda. Mereka adalah Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abu Bakar, Asma binti Abu Bakar, dan Amir bin Fuhairah (bekas hamba Abu Bakar as-Siddiq) yang semuanya belum berusia 30 tahun. Bahkan menjelang akhir hayat, baginda masih sempat mengangkat Usamah bin Zaid sebagai panglima perangwalhal ketika itu Usamah masih muda, berusia 18 tahun.

Masa muda adalah masa-masa produktif dan alangkah baiknya jika digunakan untuk melakukan aktiviti yang positif. Oleh kerana itulah, Rasulullah s.a.w menyeru agar kita memanfaatkan dengan sebaik-baiknya masa muda kita. Jangan sampai ketika uban sudah memenuhi kepala, gigi sudah tanggal satu demi satu, mata sudah mulai rabun, berdiri sudah tidak boleh tegak lagi, barulah kita sedar pada kenyataan bahawa kita sudah tua.

Manfaatkan Ketika Sedang Banyak Harta Sebelum Miskin Papa

Hidup bagaikan roda, kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Roda akan terus berputar. Begitu kata pepatah. Ya, kita memang tidak tahu apa akan terjadi kepada kita esok atau lusa. Semua rahsia kehidupan sepenuhnya berada dalam Kekuasaan Allah s.w.t. Kita hanya diminta menjalani sebaik-baiknya. Termasuk ketika kita diberi kelimpahan harta dan keluasan rezeki.

Ketika kita sedang berada dalam kelapangan rezeki, maka manfaatkanlah untuk kebaikan. Tunaikanlah hak golongan miskin dengan harta kita. Kerana sesungguhnya di dalam kekayaan kita itu, ada hak kaum dhuafa. Masa-masa banyak harta adalah saat yang paling baik untuk berbahagi kepada saudara-saudara kita yang tidak beruntung dari segi ekonomi. Allah memberikan kesempatan yang begitu luas kepada kita untuk beramal soleh dengan harta benda ketika kita sedang kaya raya.

Di dalam Islam, kekayaan juga merupakan ujian di samping juga amanah. Banyak orang berhasil lulus daripada ujian kemiskinan dan kesusahan hidup, tetapi gagal ketika Allah menuji mereka dengan kekayaan. Mereka menjadi lupa diri, bakhil, tamak dan sombong. Mereka tidak sedar, bahawa apa yang mereka capai sekarang adalah ujian daripada Allah. Oleh kerana itulah, Nabi Muhammad s.a.w mengingatkan agar kita berhati-hati dengan kekayaan yang sedang menyelimuti kita. Jangan sampai kita dimusnahkan oleh harta benda sehingga lupa beramal dengan harta itu.

Masa kaya adalah masa “menanam” kebaikan dan kebajikan sebanyak-banyaknya. Juga melakukan langkah-langkah strategik untuk masa depan yang tidak dapat kita jangkakan. Agar ketika, Allah takdirkan kita berada “di bahagian bawah roda”, kita tidak merasakan terlalu jatuh. Kalau kita sudah jatuh miskin, barulah timbul kesedaran “seandainya”. “Seandainya saya jadi orang kaya lagi, saya mahu membina masjid”. Atau, “Seandainya saya jadi orang kaya, saya ingin membina hospital khusus untuk orang miskin.” Sayang, saat itu kita sedang jatuh miskin.

Manfaatkan Waktu Luang Sebelum Kesibukan Mengepung

Bagi orang yang aktiviti hariannya sentiasa sibuk, mencari waktu terluang amat sukar. Untuk makan sendiri pun, kita selalu lupa kerana terlalu disibukkan oleh pekerjaan. Bahkan untuk sekadar makan satu meja di rumah dengan keluarga juga jarang dapay dilakukan. Rumah bagi mereka mungkin hanya sebagai tempat persinggahan sahaja. Komunikasi dengan keluarga juga barangkali kebanyakan hanya melalui telefon bimbit atau SMS. Jarang sekali bertatap muka.

Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang sibuk. Baginda memimpin negara Kota Madinah, berdakwah, mengajar, menerima tetamu dan utusan negara lain, kadangkala mengetuai pasukan tentera menghadapi musuh dan sebagainya. Meskipun demikian, baginda tetap mempunyai waktu untuk keluarga. Tidak ada sesaat pun waktu luang yang dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh baginda tanpa aktiviti yang bermanfaat.

Manfaatkan Masa Hidup Sebelum Maut Datang

Hidup dan mati adalah ujian dari Allah. Ini seperti yang Allah firmankan yang bermaksud: “(Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang baik amalannya…” (al-Mulk: 2)

Kalau Allah menguji kita, bukan bererti  Dia “tidak tahu” siapa di antara kita yang baik amalannya. Kata-kata itu ditujukan buat kita, manusia. Bukan buat Allah. Sebab Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Tanpa menguji pun Allah sudah tahu siapa kita, A sampai Z. Bahkan lebih tahu daripada kita sendiri. Entah mengapa Allah menyebutkan “mati” lebih dahulu daripada “hidup”. Pada hal sebelum mati, kita berhadapan dengan kehidupan. Bagaimanapun, apa yang jelas, Allah mengingatkan kita, jika mati adalah ujian, begitu juga hidup.

Sewajarnya kita gunakan hidup di dunia ini sebaik mungkin, agar tidak timbul penyesalan ketika nanti kita dibangkitkan daripada kematian. Bahawa ternyata, kita telah mensia-siakan hidup yang sangat berharga ini. Sayangnya, ketika kematian menjemput, lenyap sudah harapan untuk melakukan sesuatu yang ingin kita lakukan semasa hidup di dunia. Tidak ada lagi kesempatan untuk berbuat baik atau menabur benih kebajikan. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *