Home » Citra Yadim » MDN anjur persidangan pendakwah kebangsaan

MDN anjur persidangan pendakwah kebangsaan

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Majlis Dakwah Negara (MDN) akan mengadakan Persidangan Pendakwah Kebangsaan pada 6 September 2016 ini bertempat di Hotel Bangi-Putrajaya Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program yang membawa tema  ‘Peranan Pendakwah Dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP ) dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan ( MAPIK).

Antara objektif persidangan ini adalah untuk mempertemukan para pendakwah dari pelbagai sektor,  agensi dan individu yang mempunyai latar belakang pendidikan, profesion, fahaman pemikiran dan fahaman politik berbeza dalam satu persidangan peringkat nasional.

Persidangan ini juga adalah untuk membolehkan MDN membina kekuatan ukhuwah di kalangan para pendakwah dan dengannya dapat diperkukuhkan rangkaian dakwah dalam masyarakat.

Melalui persidangan ini, MDN juga berharap mendapatkan cadangan dan syor daripada para pendakwah yang berpengaruh dalam masyarakat tentang keperluan, peranan dan sumbangan yang mampu dan wajar mereka lakukan untuk memperkukuhkan perpaduan ummah dan kelestarian kehidupan masyarakat dalam pembangunan negara

Program itu dijadualkan dipengerusi oleh  pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr.Mohd Fadzilah Kamsah dan akan dimulakan dengan Pembentangan Kertas Kerja oleh Prof Dato’ Mohamad Abu Bakar bertajuk ” Grand  Strategy, Gubahan Ummah dan Gagasan Perpaduan“.

Program kemudiannya disusuli dengan Pembentangan Usul oleh Pengerusi MDN, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi  Abdul Majid, dan selepas itu perbincangan akan dibuka untuk setiap peserta persidangan mengutarakan cadangan masing-masing.

Persidangan ini akan diakhiri dengan rumusan dan  penggulungan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha, , yang akan membuat kesimpulan daripada apa yang dibincangkan sepanjang program itu diadakan.

Persidangan ini adalah antara siri-siri program berbentuk perbincangan meja bulat (RTD) yang diadakan oleh MDN sejak tahun lepas.

Antara yang telah diadakan termasuk Multaqa Perpaduan Ummah, Multaqa Belia dan Ilmuwan Islam, Perhimpunan Agamawan Kebangsaan dan Persidangan Meja Bulat Cina Muslim.

Sebelum itu, MDN juga telah mengadakan RTD di beberapa negeri lain seperti Kelantan dan Pulau Pinang bagi mendengar sendiri apakah pandangan pelbagai pihak mengenai isu perpaduan ummah.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *