Home » Citra Yadim » MDN akan anjur Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang

MDN akan anjur Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Majlis Dakwah Negara (MDN) akan menganjurkan Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang pada 19 Ogos ini di Kuantan, Pahang dengan membawa tema “Peranan Ilmuwan dan Profesional Pahang Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof Emeritus Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid berkata, penganjuran program berkenaan telah mendapat persetujuan daripada Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah ibni Sultan Ahmad Shah dalam Majlis Kunjung Menghadap oleh MDN di Kuala Lumpur, semalam.

“Program ini akan dianjurkan bersama oleh MDN, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta kerjasama daripada Yayasan Pahang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang dan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

“Pada multaqa itu nanti, Tengku Abdullah akan menyampaikan titah diraja dan seterusnya menyempurnakan perasmian program,” katanya.

Beliau berkata, jumlah peserta dianggarkan seramai 200 orang, terdiri daripada pelbagai golongan dan latar belakang pendidikan dan juga profesional yang tinggal dan bertugas di Pahang serta anak-anak Pahang yang bertugas di negeri-negeri lain.

Katanya, mereka terdiri daripada kalangan para pensyarah di institusi pengajian tingi dan swasta, para pegawai pengurusan di pelbagai sektor, guru, usahawan dan termasuk juga dari kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Program Multaqa Ilmuwan dan Profesional Pahang ini diadakan bertujuan menyatukan seluruh ilmuwan dan profesional Pahang dalam sebuah wadah ilmiah yang dapat mencungkil pemikiran bernas dan menyalurkan dalam tindakan yang berkesan di masa hadapan.

“Multaqa ini akan merangka perancangan strategik dalam tiga aspek utama iaitu pendidikan, ekonomi dan sosio-budaya untuk kesejahteraan masyarakat di Negeri Pahang,” katanya.

Kepakaran dan kehebatan tokoh ilmuwan dan profesional Pahang ini amat penting dalam kemajuan negeri Pahang secara khusus dan pembangunan ummah keseluruhannya.

Justeru, peranan mereka perlu digembeleng secara tersusun dan bijaksana agar sumbangan mereka dapat dimanafaatkan secara optimum untuk kecemerlangan masyarakat dan ummah.

Sementara itu, dalam majlis kunjung mengadap itu, Tengku Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan penganjuran Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat pada 5 – 6 Ogos.

Baginda memberi perkenan agar konvensyen berkenaan dapat dilaksanakan di negeri Pahang, sekaligus menjadi negeri pertama menganjurkannya selepas penganjuran konvensyen peringkat kebangsaan.

 

 

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *