KUALA LUMPUR – Maybank Islamic Bhd (MIB), bank Islam terbesar dari segi aset di ASEAN, mahu menjadi jambatan dalam sektor perbankan Islam antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan rantau ini selepas cawangannya di Dubai memulakan operasi pada Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Rafique Merican menyatakan keyakinan bahawa syarikat akan dapat memainkan peranan dalam memudahkan perdagangan, selain aliran dana untuk aktiviti kewangan antara dua rantau, berdasarkan kedudukan MIB yang kukuh dalam kewangan Islam, terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Singapura.
“Misalnya, Malaysia membeli minyak dan gas atau produk lain daripada GCC dan sebaliknya.
“Dengan itu, kami dapat meningkatkan aliran perdagangan bukan hanya antara dua negara, tetapi juga antara rantau,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tahun lepas, MIB mengumumkan bahawa ia mungkin menerima kelulusan kawal selia untuk menubuhkan cawangannya di Dubai pada separuh pertama tahun ini.
Sebagai bank Islam terbesar di Malaysia (menyumbang 30 peratus bahagian pasaran) dan antara lima bank Islam terbesar di peringkat global, MIB, bank Islam berlesen dan milik penuh Malayan Banking Bhd (Maybank), mempunyai nilai aset sebanyak RM225 bilion sehingga 31 Dis, 2018.
Jumlah pembiayaan kasarnya bagi tahun kewangan 2018 naik 8.1 peratus tahun ke tahun kepada RM176.8 bilion, dan pembiayaan Islamnya menyumbang sebanyak 58.7 peratus kepada jumlah pinjaman dan pembiayaan kumpulan.
Mengulas mengenai prospek pertumbuhan pembiayaan Islam negara, Mohamed Rafique menjangka kadar pertumbuhan kekal mendatar sebanyak 11 peratus pada 2019, sama dengan 2018, berdasarkan tahap pembangunan Malaysia yang berada “di tengah-tengah antara Singapura dan Indonesia”.
“Bagi negara maju seperti Singapura, apabila tiada permintaan yang tinggi untuk infrastruktur baharu atau pengangkutan awam, kadar pertumbuhan (biasanya) akan lebih perlahan, atau berkembang sejajar dengan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara.
“Berbanding negara-negara seperti Indonesia, apabila masih terdapat banyak yang perlu dilakukan, pembiayaan Islam dijangka berkembang sebanyak 1.5 kali atau lebih banyak daripada pertumbuhan KDNK, berikutan negara itu masih perlu melabur dalam projek infrastruktur atau perumahan,” katanya.
Selain itu, katanya pertumbuhan sederhana KDNK negara, yang diunjurkan antara 4.3 dan 4.8 peratus pada tahun ini, turut dijangka membawa kepada prestasi mendatar kepada pengembangan pembiayaan Islam pada tahun ini.
Mohamed Rafique, bagaimanapun, menegaskan pertumbuhan pembiayaan Islam yang diunjurkan sebanyak 11 peratus masih tinggi berbanding pertumbuhan pinjaman konvensional, yang sebanyak tiga hingga empat peratus pada tahun lepas. – Bernama
KOMEN