KOTA BHARU – Menjelang sambutan Hari Kebangsaan negara 31 Ogos nanti, ibu bapa dan guru digesa mengambil kesempatan mendidik anak terutama lelaki dengan semangat keperwiraan bagi menyuntik semangat patriotisme, kata Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MAWAR-YADIM), Dr Hafidzah Mustakim.
Beliau berkata bagi membentuk semangat keperwiraan, anak lelaki perlu diberikan tugasan sejak kecil supaya boleh berlatih bertanggungjawab dan membuat keputusan dalam perkara kecil, juga lebih berperanan menjadi perwira untuk tugasan yang lebih besar.
“Kepuasan dan kebahagiaan akan dapat dirasai mereka sebagai lelaki sejati, jadi lahirlah perwira-perwira yang akan berganding bahu dengan pemudi untuk berperanan membangunkan negara Malaysia tercinta menjadi sebuah negara rahmah ikutan semua.
“Tanamlah dalam pemikiran anak lelaki bahawa dia diciptakan untuk tugas besar menjadi pemimpin dan penjaga kepada orang perempuan dalam keluarganya, malah dengan cara ini, jiwanya akan menjadi besar penuh tanggungjawab dengan menggunakan kekuatan fizikalnya untuk mengasihi, menghormati dan menjaga wanita,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Hafidzah berkata anak lelaki amat memerlukan contoh teladan dari bapa, bapa saudara, abang atau guru untuk menjadi ‘role model’, malah dengan menemui figura atau tokoh lelaki atau didikan melalui penceritaan kisah teladan dari al-Quran, sirah Rasulullah dan sahabat serta pemimpin terdahulu termasuk pejuang-pejuang kemerdekaan juga akan membangkitkan jiwa positif dalam diri mereka.
Mengulas lanjut, menurutnya perkara itu penting memandangkan ibu bapa perlu risau tentang kemenjadian anak lelaki kerana data menunjukkan anak lelaki lebih berisiko untuk terlibat dengan gejala negatif seperti penagihan dadah, ponteng sekolah, buli dan pelbagai jenayah yang lain apabila berkaitan dengan gejala kekusutan jiwa dalam diri anak-anak lelaki, selain berisiko untuk ketinggalan dalam bidang akademik.
Hafidzah berkata terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkara tersebut termasuklah perbezaan biologi yang ketara antara anak lelaki dan perempuan dari sudut tumbesaran dan kaedah pembelajaran.
“Didiklah anak-anak dengan ilmu dan kemahiran dengan mengetahui tahap tumbesaran anak lelaki, yang mana peranan pelbagai hormon termasuk testosteron dalam tubuhnya boleh membantu tumbesaran mereka dengan betul secara tersasar termasuk hormon itu melambatkan kebolehan membaca dan bertutur sehingga 20 bulan berbanding anak perempuan.
“Sekitar empat tahun anak lelaki mengalami perubahan pesat hormonnya yang menyebabkan dia begitu aktif, bertenaga dan tidak boleh duduk diam dengan dilihat gemar meneroka alam persekitarannya dengan bebas.
“Oleh itu amat menyiksakan malah berbahaya bagi perkembangannya sekiranya dia diminta untuk duduk diam melalui pembelajaran pasif termasuk membiarkannya untuk berada di depan peti televisyen atau gajet bermain ‘game’, sebaliknya jalan terbaik ialah berkomunikasi, membacakannya buku, menceritakan kisah, bermain secara interaktif di luar rumah yang akan membantu mengaktifkan penggunaan tenaganya,” katanya.
Kata Hafidzah, anak lelaki yang bersifat keperwiraan perlu dibentuk peraturan dan disiplinnya dengan didikan menguruskan emosi kerana pada usia lapan tahun ke atas, kebanyakan mereka akan mengalami perubahan hormon memberi kesan kepada jiwanya seperti sedih, takut dan marah.- Bernama
KOMEN