Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan
Selepas Allah SWT menyebut tentang makanan penghuni syurga dan pakaian mereka, maka Allah SWT menambahkan pula gambaran tentang tempat tinggal serta minuman mereka, bekas minuman dan pelayan-pelayannya. Lalu Allah SWT mengulang sekali lagi perbincangan tentang pakaian mahal dan perhiasan yang diberikan kepada mereka.
Kemudian Allah SWT menunjukkan semua ini sebagai balasan terhadap mereka yang melakukan amal kebajikan dan pembersihan yang dilakukan terhadap diri mereka dalam bentuk akhlak yang terpuji dan budi pekerti yang baik.
Firman Allah SWT: “Dan diedarkan kepada mereka bejana-bejana daripada perak dan piala-piala yang bening laksana kaca. (iaitu) kaca-kaca (yang terbuat) dari perak yang telah diukur mereka dengan sebaik-baiknya.” (al-Insaan: 15-16)
Al-Maraghi berkata: Pelayan-pelayan menyajikan gelas-gelas minuman dan piala-piala daripada perak kepada mereka. Pelayan-pelayan yang menyajikan minuman tersebut kepada mereka, telah menurut kadar keperluan dan kesegaran.
Yang demikian akan lebih terasa nikmat dan ringan buat mereka kerana bekas-bekas itu tidak terlalu penuh hingga melimpah dan tidak pula kurang hingga bergoncang. Bekas-bekas minuman penghuni syurga itu dibuat daripada perak yang putih sejernih kaca sehingga apa yang ada di dalamnya jelas kelihatan dari luar.
Ibnu Kathir berkata: Mereka dikelilingi oleh pembantu-pembantu dengan membawa bejana makanan yang dibuat daripada perak dan juga gelas-gelas minuman.
Sayid Qutub berkata: Mereka diedarkan dengan minuman-minuman di dalam bejana-bejana dan gelas-gelas perak yang nipis seperti kaca yang belum pernah dilihat pada bejana perak di dunia. Gelas-gelas itu dibentuk dengan ukuran-ukuran yang memberi keindahan dan kenikmatan.
Firman Allah SWT: “Di dalam syurga itu mereka diberi minum segelas (minuman) yang campurannya adalah zanjabil.” (al-Insaan: 16)
Al-Maraghi berkata: Di dalam syurga orang yang berbakti itu meminum arak yang dicampur dengan zanjabil. Mereka begitu menyukai dan menyenangi minuman itu.
Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, orang-orang yang melakukan kebaikan juga akan diberi minum dengan gelas-gelas yang mana kadang-kadang mereka diberi minum minuman yang dicampur dengan kapur yang dingin dan pada saat lain diberi minuman yang bercampur dengan zanjabil yang panas supaya ada keseimbangan bagi mereka.
Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu kadang-kadang dicampur dengan zanjabil dan kadang-kadang dicampur dengan haruman kapur.
Firman Allah SWT: “(yang didatangkan dari) sebuah mata air syurga yang dinamakan salsabil.” (al-Insaan: 18)
Ibnu Arabi berkata: Aku belum pernah mendengar Salsabil kecuali di dalam al-Quran. Seolah-olah sumber itu dinamakan Salsabil kerana jernih dan mudahnya mengalir dikerongkong.
Hasan ibnu Sabit berkata: Mereka memberi minum arak yang bercampur arak bersih yang penuh nikmat kepada orang yang pada mereka terdapat kilauan.
Muqatil berkata: Ia adalah sumber yang airnya mengalir kepada mereka di majlis-majlis mereka seperti yang mereka suka.
Ibnu Kathir berkata: Zanjabil ini merupakan sebuah mata air di syurga yang bernama Salsabila.
Ikrimah berkata: Ia merupakan nama sumber air di syurga.
Mujahid mengatakan: Disebut demikian kerana alirannya yang lembut dan tajam.
Sayid Qutub berkata: Minuman-minuman itu juga dipenuhkan di dalam gelas-gelas dari sebuah mata air yang sentiasa mengalir bernama Salsabil yang amat cita rasa.
Firman Allah SWT: Dan mereka dikelilingi oleh pelayan-pelayan muda yang tetap muda. Apabila kamu melihat mereka, kamu akan mengira mereka, mutiara yang bertaburan. (al-Insaan: 19)
Al-Maraghi berkata: Para penghuni syurga itu dikelilingi oleh para pelayan yang cekap. Para pelayan itu terdiri daripada kalangan yang muda, menarik dan menyenangkan. Mereka tidak tua, tidak beruban dan badan mereka tidak penat untuk memberikan layanan. Mereka umpama permata-permata yang bertebaran.
Permata-permata yang bertebaran itu lebih indah daripada permata-permata yang diikat. Apabila para penghuni syurga melihat mereka akan dikhayalkan dengan keindahan warna, kecerahan wajah dan kecekapan mereka ketika melayani setiap keperluan tuan-tuan mereka. Bertebarannya mereka bererti mereka itu segera memberi layanan.
Sayid Qutub berkata: Yang menambahkan kenikmatan ialah pelayan-pelayan yang menghidangkan gelas-gelas minuman itu adalah terdiri daripada pemuda-pemuda remaja yang berwajah tampan, yang kekal muda, tidak dimakan zaman dan dilusuhkan usia. Mereka selama-lamanya muda belia dan berseri-seri serta mereka berada di sana sini di dalam syurga seolah-olah mutiara yang bertaburan. _ MAJALAH DAKWAH
KOMEN