PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berharap lebih banyak organisasi berkaitan zakat dan syarikat korporat dapat memberikan sumbangan zakat dalam bentuk buku kepada golongan asnaf.
Katanya, sumbangan zakat yang diberikan kepada golongan seharusnya bukan sekadar dalam bentuk bantuan kewangan dan makanan semata-mata, tetapi juga bantuan pendidikan.
“Antara perkara asas berkaitan pendidikan adalah buku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Pelancaran Program Zakat Semarak Ilmu di Putrajaya.
Program itu melibatkan pengagihan tajaan dalam bentuk buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bernilai RM700,000 kepada 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Ia merupakan usaha sama antara ITBM, Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kata Maszlee, program tersebut seiring dengan inisiatif KPM untuk memberi manfaat kepada murid-murid daripada keluarga B40 iaitu bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Kata Maszlee, biarpun pelbagai bantuan diberikan pihak berwajib, tetapi masih ada sesuatu yang ‘kurang’.
“Kita bagi beras, bantuan barang dapur, duit, tapi tak ada buku.
“Jadi saya terfikir, mungkin pada zaman sekarang, pihak zakat kena maju selangkah ke hadapan, bukan sekadar memberikan bantuan dari segi makanan dan dana, tetapi juga membantu untuk membina cita-cita dan jiwa anak-anak ini.
“Membukakan dunia untuk mereka dengan harapan mereka akan dapat belajar dengan bersungguh-sungguh, mendapat pekerjaan yang baik, dan seterusnya dapat mengeluarkan keluarga mereka daripada lingkungan asnaf itu sendiri,” tambahnya lagi.
Program zakat itu direalisasikan daripada saranan yang disuarakan Maszlee semasa Majlis Prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan pada Disember tahun lalu. – Malaysiakini
KOMEN