Home » Langit Terbuka » Masjid UK buka pintu

Masjid UK buka pintu

MASJID Al Manar di Manchester menyediakan tempat tidur kepada mereka yang memerlukan ketika cuaca sejuk melampau melanda Britain. FOTO Twitter@AliDawow

LONDON: Masjid di United Kingdom (UK) dan Ireland membuka rumah ibadat itu untuk golongan gelandangan berlindung daripada cuaca sejuk melampau yang melanda Eropah sekarang.

Eropah, termasuk UK dilanda cuaca sejuk melampau akibat tiupan angin Siberia dan Taufan Emma menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan isyarat merah di barat daya England serta selatan Wales untuk salji – tahap amaran tertinggi, manakala seluruh UK, isyarat kuning dan jingga.

Cuaca sejuk itu menyebabkan lebih 60 orang maut, sebahagian besarnya gelandangan.

Pemegang amanah Masjid Makki di Manchester, Rabnawaz Akbar, berkata, berikutan keadaan cuaca yang sangat sejuk, pihaknya memutuskan melakukan sesuatu unutuk membantu mereka yang memerlukan.

Menurut laporan media Britain dan Al-Jazeera, sejak beberapa hari lalu, sukarelawan berkhemah di luar masjid bagi menyediakan makanan dan tempat tinggal kepada gelandangan di bandar raya berkenaan.

Masjid juga menyediakan kemudahan tempat mandi kepada mereka yang tiada tempat tinggal, malah pemandu teksi diminta menghantar gelandangan ke masjid dengan tambang ditanggung tabung masjid.

Al-jazeera melaporkan, Rabnawaz berkata, gelandangan di Manchester semakin meningkat.

“Langkah penjimatan kerajaan sejak lapan tahun lalu menyebabkan tiada lagi perkhidmatan sokongan yang diperlukan orang ramai.

“Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa tidur di merata tempat. Sebahagian mempunyai masalah kesihatan, mangsa keganasan rumah tangga, penagih dadah atau pelarian yang tiada dokumen,” katanya.

Seorang lelaki dikenali sebagai Jamie, seorang daripada empat gelandangan yang menumpang di masjid berkenaan sejak Khamis lalu, berkata: “Saya penagih dadah dan tidak pernah masuk masjid.

“Namun, tiba-tiba seorang lelaki datang dan berkata, “Anda tiada tempat tinggal, mahukah anda bermalam di masjid?

“Mereka membuatkan saya berasa amat dialu-alukan dengan memberi makan dan minum, sesuatu yang majlis perbandaran tidak berikan kepada kami.”

JAMIE gelandangan yang berlindung di Masjid Makki, Manchester. FOTO Twitter@RabnawazA

Masjid Besar Leeds, Masjid Oldham, Masjid Finsbury Park, Masjid Canterbury dan Masjid Clonskeagh di Dublin turut membuka pintu kepada gelandangan.

“Kami mengerah sukarelawan bertugas pada waktu malam agar mereka yang memerlukan mendapat kehangatan mencukupi dalam bangunan, terutama pada lewat malam,” kata ketua kebajikan masyarakat di Pusat Kebudayaan Islam Ireland, Summayah Kenna kepada radio 98FM Dublin. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *