Home » Langit Terbuka » Masjid Sikamat dibuka semula hari ini

Masjid Sikamat dibuka semula hari ini

Pihak KKM melaksanakan sanitasi di masjid pada 9 Oktober dan masjid sedang menunggu arahan seterusnya, setakat ini tidak ada arahan untuk menutup masjid. - Foto Muhammad Qul Amirul Hakim

SEREMBAN – Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat dekat sini hanya ditutup sementara malam semalam bagi solat Maghrib dan Isyak namun telah beroperasi semula seperti biasa sejak solat Subuh tadi.

Pemangku Pengerusi masjid tersebut, Najib Nubhan Khairuddin berkata, penutupan sementara semalam itu adalah kerana pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan proses sanitasi di masjid lewat petang semalam.

Ia berikutan, terdapat seorang individu yang disahkan positif Covid-19 mempunyai sejarah perjalanan ke masjid berkenaan iaitu semasa solat Jumaat pada 2 Oktober lepas.

“Semalam pihak KKM ada datang buat sanitasi di masjid dan masjid sedang menunggu sahaja arahan seterusnya tetapi setakat ini tidak ada arahan untuk tutup masjid.

“Cuma malam tadi solat Maghrib dan Isyak kami tutup masjid semalam sebab proses sanitasi itu menyebabkan permaidani jadi basah, namun Subuh tadi kami sudah mula semula beroperasi,” katanya ketika dihubungi di sini pada 10 Oktober.

Beliau mengulas penularan dakwaan di media sosial iaitu seorang jemaah yang menunaikan solat Jumaat semalam di masjid tersebut yang didapati positif Covid-19 termasuk gambar-gambar proses sanitasi yang dilakukan di masjid berkenaan.

Katanya,  apa yang tular tu banyak tidak tepat sebenarnya, ia telah menimbulkan ketakutan kepada masyarakat sehingga kami malam tadi tidak menang tangan kami mahu menjawab mesej WhatsApp dan panggilan telefon.

“Berita yang sahihnya, yang berlaku kes positif yang solat di Masjid Sikamat itu adalah pada hari Jumaat yang lepas bukan semalam.

“Dia telah disaring dan ternyata dia positif semalam dan Kementerian Kesihatan semak semula sejarah perjalanannya dan antara tempat dia pergi adalah Masjid Sikamat untuk solat Jumaat,” katanya.-K! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *