ARAU- Semua masjid di negeri ini diarahkan meneruskan bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu selama tujuh hari bermula solat Jumaat hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, arahan berkenaan mendapat perkenan Raja Perlis,
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa pencerobohan dan serangan tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lalu.
Titah baginda yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pencerobohan dan serangan tentera Zionis ke atas masjid yang ketiga paling suci dalam Islam ketika umat Islam sedang beriktikaf dan bertarawih bagi menghidupkan sepuluh malam hari terakhir dalam bulan Ramadan itu merupakan tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Justeru, semua masjid di seluruh negeri ini diminta meneruskan bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu selama tujuh hari bermula dari solat Jumaat hari ini sehingga solat Jumaat pada 21 Mei,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, MAIPs mengarahkan semua masjid di negeri ini membaca Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu selama dua hari pada 11 dan 12 Mei lalu.
Seterusnya, baginda menyeru seluruh rakyat negeri ini agar turut mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat saudara di Palestin. – Utusan Digital
KOMEN