Home » Langit Terbuka » ‘Masjid Rusia’ tarik perhatian di Jerteh

‘Masjid Rusia’ tarik perhatian di Jerteh

Masjid yang dibina dengan kos RM4 juta menerusi derma orang ramai itu sebenarnya bertujuan menggantikan masjid kayu sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang - Foto internet

BESUT – Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, di sini yang mendapat jolokan sebagai “Masjid Rusia” kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Rusia, menarik perhatian orang ramai.

Berdiri gah di kawasan sawah padi di tengah-tangah kampung itu, masjid yang dibina kira-kira 6 tahun lalu kini menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan penduduk dalam dan luar negeri.

Timbalan Pengerusi Masjid Lapan Kubah, Wan Ahmad Wan Yaacob, 64, atau lebih dikenali sebagai ‘Bilal Edi’ berkata, keunikan seni bina masjid itu dengan kombinasi warna kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid yang mula digunakan sejak tahun lepas tidak putus-putus dikunjungi.

“Ada yang sanggup datang dari utara tanah air bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid yang menyerupai antara tempat beribadat termasyhur di negara Eropah.

“Kewujudan masjid ini turut menaikkan nama kampung yang kurang dikenali sebelum ini,” katanya yang menjadi bilal di masjid kampung itu sejak 30 tahun lepas.

Masjid yang dibina dengan kos RM4 juta menerusi derma orang ramai itu sebenarnya bertujuan menggantikan masjid kayu sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang.

“Meskipun belum 100% siap, ia telah digunakan buat pertama kali pada salat sunat Aidilfitri tahun lalu kerana di kampung ini tiada masjid yang boleh menampung jemaah yang ramai pada satu-satu masa.

“Kini hanya 5% sahaja lagi bahagian masjid tersebut yang belum siap sepenuhnya, iaitu di bahagian kolah tempat berwuduk dan sebahagian bumbung di bahagian depan sahaja yang mana kita memerlukan kira-kira RM50,000 untuk menyempurnakannya,” katanya.

Dibina sepenuhnya menggunakan 100% tenaga dan arkitek tempatan, masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.

“Sebelum ini apabila tiba Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kami risau apabila melihat anak-anak kampung, terutama yang merantau pulang ke kampung berasa kecewa tidak dapat menunaikan salat hari raya di masjid kerana masjid lama tidak mampu menampung bilangan jemaah yang ramai,” katanya.

Mengulas penerimaan penduduk tempatan mengenai reka bentuk masjid itu, Wan Ahmad berkata, beliau bersyukur kerana mendapat reaksi positif daripada kalangan jemaah, terutama generasi muda yang menyifatkan ia jalinan antara reka bentuk klasik dan kontemporari, sekali gus menarik lebih ramai golongan itu untuk beribadat di masjid unik tersebut.

“Disebabkan masjid ini kini menjadi antara mercu tanda kampung ini, pengurusan masjid turut bercadang membuat satu sudut khas bagi menempatkan info dan bahan yang menampilkan sejarah awal masjid lama sehingga terbinanya masjid baru ini.

“Terdapat beduk yang digunakan untuk memanggil orang kampung setiap kali waktu solat yang berusia lebih 50 tahun akan turut dipamerkan di sudut itu kelak,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *