PUTRAJAYA 22 Dis. – Masjid Putra hari ini dibanjiri ribuan umat masyarakat menyertai Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis, hari ini.
Kehadiran umat Islam bertemakan baju putih hari ini secara jelas menolak pengistiharan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Rata-ratanya hadir dengan membawa mesej lantang mengutuk keputusan Trump yang hanya mencetuskan huru-hara terhadap masyarakat Islam.
Tinjauan mendapati peserta himpunan mula memenuhi pekarangan masjid seawal jam 11.30 pagi untuk bersama melahirkan rasa dukacita ke atas nasib yang menimpa saudara Islam di Palestin.
Sebanyak 250 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk NGO bukan Islam serta parti-parti politik dilaporkan menyertai himpunan ini.
Himpunan hari ini dimulakan dengan forum khas terdiri daripada enam panel jemputan mewakili pertubuhan politik dan NGO yang berbincang mengenai solidariti menyelamatkan Palestin.
Seusai solat Jumaat dan solat Hajat, himpunan diteruskan dengan ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan diakhiri dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.- SINAR HARIAN
KOMEN