SHAH ALAM – Masjid Muhammad Al-Amin di Gaza, Palestin yang dibina badan bukan kerajaan (NGO), Muslim Care Malaysia (MCM) musnah akibat serangan bom tentera Israel.
MCM berkata, pihaknya berjaya membina masjid itu pada penghujung 2013 untuk kegunaan rakyat Palestin, tetapi musnah sepenuhnya dan tidak boleh digunakan.
“Retak hati berkeping-keping melihat masjid yang tersergam indah hasil dana rakyat Malaysia pecah berderai kesan serangan bom oleh Zionis lsrael.
“Penghujung 2013, kami mencipta sejarah apabila berjaya membina sebuah masjid luas dan cantik, malangnya semua hasil usaha dan sumbangan rakyat Malaysia, hari ini, 7 Oktober 2023, Masjid Muhammad Al Amin musnah keseluruhannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Sabtu, Hamas melancarkan Operasi al-Aqsa disertai rakyat Palestin sebagai mesej mempertahankan diri dan menjaga kedaulatan tanah air selain membalas penindasan serta keganasan yang dilakukan rejim Zionis sejak hampir satu abad.
Pegawai Perhubungan Antarabangsa Hamas, Khaled Qadoumi berkata, rakyat Palestin ketika ini berdepan penindasan oleh pentadbiran Israel sayap kanan (ekstrem) yang dipercayai melanggar pelbagai undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, MCM menjelaskan, perkara sebegitu tidak memudarkan semangat dan jihad orang Islam.
“Sebagaimana kuatnya jiwa pejuang saudara kita di Palestin, begitu jugalah teguhnya hati-hati kita semua akan terus bersatu.
“Lebih banyak bantuan dan dana akan disalurkan sebagai tanda sokongan kepada saudara kita di Palestin,” ujarnya.
KOMEN