KUALA LUMPUR 11 Ogos – Kesedaran tentang kepentingan menunaikan kewajipan membayar zakat harta dalam kalangan umat Islam di Selangor didapati masih kurang memuaskan walaupun jumlah kutipan zakat meningkat setiap tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd. Ali berkata, terdapat banyak faktor yang dikesan menjadi punca mengapa masih ramai umat Islam di Selangor masih tidak membayar zakat harta masing-masing.
“Ramai yang anggap apabila bayar zakat fitrah kewajipan mereka telah selesai sebagai umat Islam.
“Mungkin kurang kefahaman mengenai apa itu zakat harta yang konsepnya amat luas menyebabkan ramai dalam kalangan umat Islam yang mampu tidak menunaikan kewajipan tersebut,” katanya ketika ditemui pada sesi perbincangan mengenai zakat di Selangor, di pejabat Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini hari ini.
Yang turut hadir Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hassan Mad serta Ahli Jawatankuasa Agihan Zakat Selangor, Datuk Ibrahim Md. Yusof.
Menurut Hussin, sepanjang 20 tahun beroperasi, LZS telah mengutip lebih RM3.8 bilion dan kutipan zakat telah meningkat secara positif setiap tahun berdasarkan keyakinan orang ramai terhadap institusi tersebut.
“Tahun lalu jumlah kutipan adalah RM627.2 juta, namun daripada tiga juta umat Islam Selangor hanya 256,001 orang merupakan pengeluar zakat harta.
“Jumlah keperluan asnaf di Selangor kini mencapai RM1 bilion dan kita hanya dapat mencapai jumlah tersebut pada 2019. Tidak mustahil jumlah tersebut berjaya dicapai awal jika kesedaran pembayar zakat meningkat,” katanya
– www.utusan.com.my
KOMEN