Home » Langit Terbuka » Masih banyak pusat tahfiz tak berdaftar – TPM

Masih banyak pusat tahfiz tak berdaftar – TPM

Ahmad Zahid (dua kanan) bersama Ahmad Kamal (kanan) menerima buku modul pra-tahfiz pada majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat KEMAS Terengganu hari ini. NSTP/GHAZALI KORI

KUALA NERUS: Banyak pusat tahfiz di negara ini masih tidak berdaftar yang boleh menimbulkan pelbagai risiko termasuk keselamatan pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, antara sebab pusat pengajian itu tidak berdaftar termasuk tidak dapat mengikuti syarat atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Katanya, kegagalan itu menimbulkan pelbagai risiko terutama keselamatan pelajar, sekali gus menggesa semua pengendali pusat tahfiz segera berbuat demikian demi kebajikan pelajar.

“Terdapat 1,199 maahad tahfiz yang berdaftar, namun lebih banyak maahad tahfiz yang tidak didaftarkan di negara ini.

“Ini kerana sama ada mereka tidak mahu mendaftarkan maahad tahfiz itu atau tidak dapat memenuhi syarat ditentukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Ini menimbulkan kekhuatiran jika berlaku kebakaran atau sebarang insiden seperti kita lihat di sebuah maahad tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur yang menyebabkan ramai pelajar terperangkap,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Pra Tahfiz Peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pihaknya turut menyasarkan kira-kira 140,000 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) menjadi ‘huffaz cilik’ menjelang 2026 menerusi Program Tabika Pra Tahfiz di bawah KEMAS.

Beliau berkata, pendidikan al-Quran itu menjadi teras utama dalam kemenjadian kanak-kanak beragama Islam, selain kemahiran sedia ada yang diperlukan sebagai persediaan masuk ke Tahun Satu.

“Program Pra Tahfiz dilaksanakan KEMAS landasan terbaik untuk menanamkan kecintaan terhadap al-Quran sejak kecil supaya kanak-kanak itu membesar dengan nilai murni yang terpahat dalam jiwa mereka,” katanya

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *