Home » Citra Yadim » Masa untuk kerja kuat

Masa untuk kerja kuat

Sheikh Omar (kiri) ketika di wawancara dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri

KUALA LUMPUR – “Sekarang ini masa untuk kita bekerja dengan kuat dan tunjukkan bahawa dakwaan tanpa asas yang dilemparkan adalah tidak benar,” tegas Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu dilantik, Yang Berhormat Sheikh Omar Ali.

Menurut beliau, hasil usaha keras anggota YADIM pada masyarakat akan membuktikan bahawa badan dakwah ini sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam melaksanakan teras gerak kerjanya iaitu berdakwah, pendidikan, kebajikan serta menyelaras kegiatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam di negara ini.

“Kita akan adun dan gunakan semua kepakaran dari pelbagai latar belakang ALPA yang baharu dilantik, menerusi semua pengalaman dan kemahiran yang ada, kita yakin ianya boleh memacu YADIM untuk lebih berjaya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika di wawancara dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini, (8 Februari 2019).

Sheikh Omar menambah, dengan penekanan sehabis baik terhadap usaha dakwah, ia sekaligus dapat menonjolkan bahawa imej Islam itu adalah baik.

Ini jelas beliau, selaras dengan hasrat YADIM sendiri untuk menunjukkan dan menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat Malaysia.

“Tidak banyak negara yang memiliki komposisi penduduk seperti Malaysia, dan kita mahu tonjolkan bahawa Islam itu Rahmat Seluruh Alam,” katanya.

Sheikh Omar turut menyeru para pendakwah untuk sentiasa menambah ilmu dalam bidang berkenaan.

“Dengan ilmu kita boleh berdakwah dengan matang, santun dan ilmiah. Dengan ilmu juga kita dapat teroka jalan jalan baru dakwah. Sekarang ini masanya untuk kita perbanyakkan penerangan dan bukannya serangan, kita ini pendakwah, bukannya penghukum.

“Semua orang boleh berdakwah, kerana kita mahu memilik rakyatkan dakwah ” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh tersebut.

Sementara itu, beliau turut mengakui YADIM tidak dapat lari dari cabaran dakwah dalam media sosial. Katanya, ia antaranya disumbangkan oleh kadar penembusan dan akses kepada bahan tersebut yang agak tinggi berbanding negara lain.

Oleh itu katanya, YADIM kini dalam perancangan untuk menerbitkan video video pendek dengan konsep segar bagi menjelaskan sesuatu isu.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *