MARIAM Moustafa pelajar Mesir berusia 18 tahun meninggal dunia hampir sebulan selepas terlantar di hospital.
Dia cedera teruk selepas dibelasah sekumpulan sepuluh wanita di Parliament Street, Nottingham pada malam 20 Februari lalu.
Ketika itu Mariam yang berjalan seorang diri dimaki kumpulan itu. Mereka memanggilnya ‘mawar hitam’ sebelum bertindak menyepak dan memukulnya.
Mariam yang tidak berdaya berlari masuk ke dalam sebuah bas. Dia meminta pemandunya agar tidak membenarkan kumpulan itu masuk, namun permintaannya itu tidak diendahkan.
Dia terus dikejar sehingga ke tingkat atas bas berkenaan sebelum seorang lelaki cuba menghalang. Bagaimanapun mereka tidak ambil peduli dan terus memukul Mariam sehingga dia tidak sedarkan diri.
Ketika itu barulah pemandu bas berkenaan masuk campur dan menghubungi ambulans.
Mariam dikejarkan ke hospital sekitar jam 9 malam dan dibenarkan pulang sekitar jam 2 pagi. Dia pada mulanya enggan kerana berasa belum sihat namun akhirnya akur kehendak pihak hospital
Keesokan harinya adiknya Malak, 16, ketika cuba mengejutkan Mariam mendapati tubuh kakaknya itu lebam dan membiru.
Mariam dikejarkan ke hospital dan diletakkan dalam keadaan koma selama 12 hari.
Ibu-bapanya cuba mendapatkan rakaman kamera keselamatan daripada polis tetapi hampa apabila dimaklumkan kamera keselamatan di kawasan kejadian rosak.
Ini bukan serangan pertama
Ayah saudara kepada Mariam, Amr ElHairy, 46 mendedahkan ini bukan kejadian pertama yang menimpa anak saudaranya itu.
Empat bulan lalu Mariam dan Malak pernah diserang mengakibatkan kaki Malak patah. Dua daripada pelakunya adalah orang yang sama dalam kejadian yang meragut nyawa Mariam. – ASTRO AWANI
KOMEN