KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Tabung 1 Juta 1 Ringgit bagi membantu umat Islam di Gaza yang diserang tentera zionis sejak beberapa minggu lalu.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selain itu pihaknya juga mengaktifkan 1,000 badan bukan kerajaan (NGO) peringkat ASEAN untuk menggerakkan kempen menuntut kepungan rejim zionis ke atas Palestin dihentikan serta merta.
Katanya, ia antara lapan fokus yang diputuskan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam persidangan hari ini (3 April) khusus bagi mencari jalan dan inisiatif membantu saudara seagama di sana.
“Tabung 1 Juta 1 Ringgit kita sasarkan untuk membantu penduduk Gaza yang sudah dikepung sejak 13 tahun lalu.
“Dengan sumbangan RM1 seorang, kita harap dapat kumpulkan RM1 juta dalam seminggu.
“Selain itu kita juga dapat kerjasama daripada 10 negara ASEAN untuk menggerakkan badan lain yang menyuarakan bantahan kepada Israel melalui pelbagai agama.
“Di Gaza yang menjadi mangsa bukan saja Islam tetapi juga agama lain seperti Kristian,” katanya pada sidang media selepas persidangan berkenaan.
Mohd Azmi berkata, satu himpunan besar-besaran peringkat ASEAN selepas Aidilfitri akan diadakan membabitkan selebriti negara luar dalam usaha menunjukkan komitmen dalam isu itu yang seperti tidak berkesudahan sejak sekian lama.
Katanya, MAPIM akan berhubung dengan Persatuan SENIMAN untuk berbincang mengenai perkara itu kerana pembabitan artis juga penting untuk menarik minat masyarakat dalam isu itu.
“Gabungan NGO juga bersetuju mendesak Dewan Rakyat dan Dewan Negara membuat usul tergempar dalam isu itu sebagai pendirian kerajaan yang mengutuk jenayah kemanusiaan yang dilakukan.
“Ia selari dengan pandangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Israel yang menunjukkan ketegasan apa yang berlaku ke atas Palestin,” katanya.
Menurutnya, mesej mengenai kesedaran isu Palestin khususnya Gaza juga akan disampaikan dalam khutbah Jumaat di seluruh negara dalam usaha menyampaikan maklumat berkaitan apa yang sedang berlaku.
“Malam esok juga kita akan buat Bacaan Yassin4Aqsa di Masjid Negara, disusuli beberapa program yang sudah pun kita susun. “Saya harap orang ramai dapat menyertainya, ini bukan soal Islam semata-mata, tetapi agama lain juga,” katanya. – Harian Metro
KOMEN