KUALA LUMPUR 2 Okt. – Umat Islam disaran memperkukuhkan permuafakatan dan memantapkan ukhuwah Islamiah bagi menghindari daripada perpecahan disebabkan perbezaan yang berlaku.
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, Islam melarang perbezaan pendapat dalam perkara pokok iaitu usul dan segala perkara yang boleh membawa kepada perpecahan sesama umat Islam.
Seri Paduka turut mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta manhaj wasatiyyah yang dianjurkan agama.
Titah Tuanku Abdul Halim, perkara itu penting bagi mengelak daripada terpengaruh dengan dakyah-dakyah palsu yang dibawa golongan sesat.
“Ingatlah bahawa segala usaha ke arah meningkatkan kemajuan sosioekonomi ummah, memperkasakan urus tadbir hal ehwal Islam serta memartabatkan institusi perundangan dan kehakiman syariah tentunya tidak akan berjaya jika umat Islam terus bertelagah dan berpecah.
“Umat Islam seharusnya memiliki kebijaksanaan untuk menguruskan perbezaan yang terjadi dengan baik. Mereka perlu memberi keutamaan kepada agenda penyatuan ummah dan menjauhi segala bentuk perbalahan sesama sendiri,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah, semua pihak hendaklah mengamalkan adab yang tinggi, sentiasa berlapang dada dan bertoleransi, saling menghormati serta mengasihi antara satu sama lain.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2016 bertemakan ‘Ukhuwah Islamiyah Asas Penyatuan Ummah’ di sini hari ini.
Berangkat sama pada sambutan itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khir Baharom serta timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Setiuasaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim bertitah, baginda amat menghargai peranan para ulama dan umara yang telah melaksanakan segala tanggungjawab mereka dengan penuh ikhlas dan amanah.
Titah baginda, jalinan ukhuwah dan permuafakatan di antara kedua-dua golongan itu hendaklah terus diperteguh demi mencapai kemaslahatan ummah dan negara.
“Beta yakin apabila muafakat dan jalinan ukhuwah kedua-dua golongan ini terlaksana dengan baik, maka akan baiklah jalinan ukhuwah serta permuafakatan dalam kalangan rakyat jelata seluruhnya.
“Beta juga harap agar agensi-agensi Islam di peringkat Persekutuan dan negeri akan terus komited terhadap peranan dan tanggungjawab masing-masing demi untuk merealisasikan hasrat menjadikan negara ini ‘baldatun toyyibatun warabbun ghafur’ (negara baik dan sejahtera),” titah baginda.
Terdahulu, baginda berkenan mengurniakan Anugerah Khas Maal Hijrah yang pertama kali diperkenalkan tahun ini kepada Allahyarham Datuk Dr. Haron Din dan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan kepada Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tun Dr. Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
– https://www.utusan.com.my
KOMEN