Bantuan keperluan asas kepada ribuan mangsa tidak mencukupi
SUGIAN, Indonesia – Agensi bantuan Indonesia dan pegawai kerajaan masih bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa selepas siri gempa bumi kuat yang menggegarkan pulau Lombok di sini semalam.
Lombok yang terkenal dengan kecantikan pemandangan berhampiran pulau pelancongan Bali itu dilanda dua gempa bumi kuat pada 29 Julai dan 5 Ogos lalu.
Kawasan itu sekali lagi digegarkan pada Ahad lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh menyebabkan pihak berkuasa tidak menolak angka kematian mungkin meningkat.
“Angka kematian akan terus meningkat dan lebih banyak gegaran susulan akan berlaku,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Porwo Nugroho.
Susulan itu, pertubuhan bantuan berjanji meningkatkan bantuan kemanusiaan di pulau itu ketika penduduk terpaksa tinggal di kem-kem sementara.
“Kami memberi perhatian kepada perkara-perkara asas dengan menyediakan bahan-bahan perlindungan seperti kit kecemasan, kit kebersihan dan kain balutan.
“Kami juga telah menghantar bantuan secukupnya kepada 20,000 mangsa sejak dua minggu lalu,” kata seorang pegawai daripada badan bukan kerajaan antarabangsa, Save the Children, Tom Howells.
Agensi bencana kebangsaan Indonesia berkata, pihaknya juga akan mempercepatkan usaha membaiki semula rumah-rumah yang rosak termasuk hospital dan sekolah.
Bagaimanapun, agensi itu memberi amaran bahawa akses kepada makanan, tempat perlindungan dan bekalan air bersih kelihatan tidak mencukupi di beberapa kawasan yang menempatkan lebih 430,000 mangsa.
“Terdapat beberapa kerosakan pada infrastruktur air yang sememangnya daif di Lombok, ekoran kekurangan bekalan di bawah tanah dan musim kemarau,” kata Howells.
Berpuluh ribu rumah, masjid dan premis perniagaan di seluruh Lombok musnah akibat gempa bumi sekuat 6.9 magnitud pada 5 Ogos lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 481 orang terbunuh. – AFP
KOMEN