KUALA SELANGOR, 27 OGOS: Sebanyak 10 kediaman asnaf, fakir, miskin dan fisabilillah dibaik pulih menggunakan peruntukan zakat wakalah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI tahun ini.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata purata kos bagi menaik taraf sesebuah rumah terlibat adalah sekitar RM20,000 hingga RM40,000.
“Kita tidak menyasarkan jumlah rumah yang dibaik pulih kerana ia bergantung kepada permohonan dan tahun ini agihan zakat wakalah MBI adalah sebanyak RM700,000.
“Kita akan meneliti mana-mana permohonan dan sekiranya ia menepati kriteria pihak Yayasan MBI akan menyalurkan bantuan kepada yang layak,” katanya.
Terdahulu, beliau melawat kediaman salah seorang asnaf, Mohd Faizal di Kampung Permatang di sini selepas ia dibaik pulih dengan menggunakan peruntukan sebanyak RM40,000.
Selain membaiki rumah, Ahmad Azri berkata zakat wakalah juga boleh diguna untuk baik pulih masjid atau surau, bantuan pendidikan, kewangan dan individu asnaf yang terlantar atas faktor kesihatan.
Permohonan zakat wakalah boleh dibuat kepada Yayasan MBI dengan menghantar surat permohonan dan beberapa dokumen berkaitan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut hubungi 03-5513 8898 (sambungan ke Yayasan MBI).
KOMEN