Mandi sunat ialah mandi yang dilakukan untuk memperoleh pahala daripada Allah S.W.T dan tidak timbul persoalan kepada sesiapa yang meninggalkan mandi sunat. Solat dan ibadah lain tetap sah walaupun seseorang itu tidak melakukan mandi sunat.
Mandi sunat Jumaat hanyalah disunatkan kepada mereka yang ingin menunaikan Solat Jumaat. Sabda Rasulullah SAW: “ Apabila seseorang kamu ingin menghadiri solat Jumat maka hendaklah dia mandi.” ( Riwayat al- Bukhari dan Muslim)
Hilangkan Bau Badan
Disunatkan mandi untuk solat sunat hari raya tetapi bagi yang tidak menunaikan solat sunat tetap digalakkan mandi termasuk wanita yang sedang haid dan nifas. Ini kerana hari raya adalah hari untuk berhias dan berbau harum.
Mereka yang ingin keluar menunaikan solat istisqa(minta hujan) disunatkan mandi terlebih dahulu. Tujuannya bagi menghilangkan bau busuk pada badan. Mandi sunat ini ada persamaan dengan mandi sunat Jumaat kerana mempunyai tujuan tertentu.
Adalah disunatkan bagi orang yang memandikan jenazah supaya dapat membersihkan diri dengan cara mandi sebaik sahaja selesai memandikan jenazah.
Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi.”( Riwayat AHMAD)
Disunatkan juga mandi ketika hendak menunaikan solat gerhana matahari dan bulan dikiyaskan kepada mandi solat sunat Jumaat kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.
Petikan Dari Akhbar Berita Harian, 29 Julai 2016
KOMEN