Home » Langit Terbuka » Mampu berpuasa di usia 92 tahun

Mampu berpuasa di usia 92 tahun

KUANTAN – Sentiasa berzikir, membaca al-Quran, solat di awal waktu dan berpuasa sunat adalah antara amalan seorang lelaki warga emas, Sharudin Sabtu yang masih sihat walaupun usianya mencecah 92 tahun.

Dia yang menetap di Taman Belukar Maju, KM 6, Jalan Gambang di sini, berkata, dia juga amalkan minum air suam dan air herba tradisional serta makan pelbagai jenis ulam-ulaman dan makan secara sederhana.

Menurutnya, dia juga tidak menghidap sebarang penyakit serius seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jantung kecuali demam dan batuk biasa kecuali pendengarannya yang sedikit terjejas namun penglihatannya masih terang.

“Alhamdulillah saya tiada sebarang penyakit kronik, setakat demam, batuk dan pening kepala biasa sahaja berbanding rakan lain yang menghidap macam-macam penyakit pada usia tua ini.

“Tiada petua khusus yang saya ikuti kecuali terus amalkan apa yang saya lakukan selama ini dan sejak empat tahun lalu saya mula amalkan minum air rebusan herba buah mahkota dewa pula,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya.

Sharudin yang juga pesara polis bersyukur kerana dikurniakan usia yang panjang dan masih boleh berjalan walaupun agak perlahan dan perlu menggunakan tongkat kerana sakit di bahagian lututnya.

Ingatan bekas polis berpangkat Lans Koperal dan dilahirkan pada tahun 1929 itu juga masih kuat apabila mampu mengecam rakan seperjuangan dan kenalan lama yang ditemuinya ketika berkhidmat dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) suatu ketika dahulu.

Sharudin berkata, sebagai anggota polis yang memulakan perkhidmatan sebelum negara mencapai kemerdekaan, dia sangat mengambil berat perihal pemakanan dan mengamalkan makanan sihat serta melakukan pelbagai jenis senaman untuk kekal sihat bagi memudahkannya menjalankan tugas.

“Namun sekarang saya tidak sekuat dahulu, senaman pun dah jarang buat melainkan kuatkan diri berjalan kaki ke surau yang terletak kira-kira 10 meter sahaja dari rumah.

“Saya juga amat bersyukur kerana masih dapat menunaikan ibadah puasa dan solat terawih walaupun dalam keadaan duduk di kerusi,” katanya.

Perkahwinan Sharudin dan isterinya, Halimah Lagu, 86, dikurniakan lapan, anak 15 cucu dan 10 cicit.

Sementara itu, Halimah berkata, suaminya tetap kekal cergas selepas bersara apabila teruskan minatnya menanam pokok di sekeliling rumah.

“Ketika berkhidmat lagi, asal ada ruang dan masa senggang dia akan menghabiskan masa berjam-jam membersihkan laman rumah dan membelek pokok yang ditanam untuk pastikan tanamannya kekal subur.

“Cuma sejak setahun dua ini, aktiviti dan pergerakannya agak terbatas kerana sakit lutut, sekali gus menyukarkannya bergerak pantas,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *