NEW YORK – Malaysia, Turki dan Pakistan bersetuju supaya langkah tertentu diambil untuk menjelaskan apa Islam sebenarnya kepada dunia luar dalam usaha menangkis kaitannya dengan keganasan.
Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata ini lahir daripada perbincangan yang berlangsung antara beliau bersama Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di sini.
“Kami berbincang mengenai masalah orang Islam dan negara Islam, dan berpendapat banyak laporan yang dibuat berkenaan agama Islam dan orang Islam tidak menepati apa sebenarnya ajaran Islam, sehingga mereka dilabelkan sebagai pengganas dan sebagainya,” katanya.
Bercakap kepda wartawan Malaysia pada Sabtu di akhir lawatan kerjanya ke sini untuk menghadiri UNGA, Dr Mahathir berkata nampaknya pandangan serong itu diterima sebagai sesuatu yang benar sedangkan Islam sebenarnya bukan agama yang ganas.
“Jadi kita berpendapat bahawa satu usaha mesti dibuat oleh ketiga-tiga negara untuk menjelaskan apa dia agama Islam, supaya tidak ada kekeliruan lagi dan kita tidak lagi dituduh agama yang menggalakkan terrorism,” kata Dr Mahathir. -Bernama
KOMEN