KUALA LUMPUR – Â Malaysia akan meneruskan agenda memastikan Palestin diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah negara melalui pelbagai kaedah diplomasi pada peringkat antarabangsa, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.
Beliau berkata, usaha ke arah itu perlu dipergiatkan memandangkan ketika ini sudah timbul gerakan kesedaran di seluruh dunia yang menganggap serangan Israel ke atas Palestin sebagai satu jenayah amat berat.
“Di Amerika Latin, Eropah mahupun di Amerika Syarikat (AS) sendiri, ada demonstrasi bukan hanya dalam kalangan orang Islam saja.
“Anggota parti Demokrat (AS) sendiri pun membuat kenyataan terbuka menentang pendirian Presiden Joe Biden yang dilihat terlalu lembut kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tidak mengambil perhatian langsung kepada hak asasi manusia.
“Suasana sekarang amat kondusif untuk diperluaskan naratif baharu supaya matlamat kita tercapai,” katanya dalam program Bicara Naratif bertajuk “Solidariti Malaysia Untuk Palestin” yang disiarkan RTM.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk tetap tegas mempertahankan garis sempadan ‘penyelesaian dua negara’ berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. – BERNAMA
KOMEN