Home » Langit Terbuka » Malaysia #QuranHour 2022 ajak masyarakat hayati erti kemerdekaan – WUIF

Malaysia #QuranHour 2022 ajak masyarakat hayati erti kemerdekaan – WUIF

Malaysia #QuranHour kali ke-8 hari ini diwarnai dengan pelbagai acara menarik buat peserta. - Gambar AWANI

PUTRAJAYA – Malaysia #QuranHour kali ke-8 yang diadakan di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini mendapat sambutan yang menggalakkan pada program sejam yang bermula pada 12 tengah hari.

 

 

Program tahunan anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bersama rakan sinerginya yang lain bertemakan ‘Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

 

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF Marhaini Yusoff program kali ini turut dimeriahkan lagi dengan penyertaan beberapa barisan artis popular tanah air termasuk pelakon filem Mat Kilau, Datuk Adi Putra.

 

 

#QuranHour itu juga katanya diisi dengan program tadabbur (menghayati) surah Al-Sajdah dan Doa Malaysia Teguh Bersama selain beberapa lagi atur cara menarik yang telah dirancang lebih awal.

 

 

Objektif utama penganjuran bagi edisi kali ini adalah menjurus kepada perubahan minda masyarakat melalui panduan yang dinyatakan dalam al-Quran.

 

 

Solusi daripada surah Al-Sajdah itu juga jelasnya menyajikan formula bagi membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak.

 

 

“Sehingga pagi tadi kita ada lebih kurang 2,000 ‘hotspot’ yang telah berdaftar di seluruh negara dan juga luar negara. Hari ini lebih 3,000 peserta berkumpul di lokasi perdana selepas dua tahun dua kita tidak adakan secara fizikal seperti ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

 

 

Tambahnya lagi acara hari ini turut menampilkan qari terkemuka tanah air untuk mengalunkan bacaan Al-Quran bersama peserta yang mengikuti program yang dijalankan secara fizikal dan juga atas talian.

 

 

Manakala Adi Putra diberikan penghormatan untuk membacakan ikrar untuk memerdekakan diri dari keburukan di jiwa.

 

 

Marhani turut menzahirkan penghargaan terhadap pelakon itu yang sanggup membatalkan aktivitinya yang lain demi memenuhi permintaan penganjur bagi memeriahkan lagi majlis #QuranHour pada kali ini.

 

 

“Setiap kali kita adakan #QuranHour sebenarnya kita nak bawa kepada erti kemerdekaan menurut Al-Quran. Jadi esok kita akan merayakan Hari Kebangsaan 2022 dan (penganjuran) kali ini kita bawakan sempena Hari Kebangsaan dan kita bawakan surah Al-Sajdah dan itu adalah kelainan pada tahun ini berbanding tahun-tahun lain,” katanya lagi.

 

 

Surah Al-Sajdah menjadi surah pilihan sebagai panduan dalam membina negara Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur (negara baik yang mendapat keampunan Allah SWT). – Astro Awani

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *