KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama di dunia menawarkan bayaran zakat menggunakan aset digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, ini antara inisiatif untuk membimbing umat Islam tentang tanggungjawab zakat dalam era teknologi ‘blockchain’ dan mata wang kripto.
Revolusi yang diasaskan oleh PPZ-MAIWP ini juga antara inisiatif terbaharu untuk memudahkan pembayaran zakat secara lebih efisien.
Ini memandangkan nilai aset digital yang dimiliki rakyat Malaysia dilaporkan mencecah RM16 bilion dan ia wajib dizakatkan.
“Antara yang berumur 18 hingga 34 tahun ni, seramai 54.2 peratus daripada keseluruhan pelabur terlibat dalam dunia kripto. Oleh sebab itu kita melihat ini adalah satu sumber zakat baru, sumber kekayaan baru terutama bagi golongan muda,” katanya kepada Buletin TV3.
KOMEN