Home » Langit Terbuka » Malaysia perlu kekal unggul destinasi terbaik percutian mesra Muslim

Malaysia perlu kekal unggul destinasi terbaik percutian mesra Muslim

MoU secara maya yang dilaksanakan JAKIM pada 24 Ogos. - Foto JAKIM

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kekal komited memperkasakan konsep pelancongan Islam di negara ini yang dijangka melonjak tinggi pasca Covid-19.

 

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Noor Zari Hamat berkata, banyak negara termasuk bukan Islam mula memberi perhatian lebih serius kepada percutian mesra Muslim.

 

Menurutnya, justeru Malaysia yang juga Pengerusi Islamic Tourism Centre (ITC) kementerian itu, bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengangkat sektor ini.

 

“Memang terdapat persaingan sengit bukan sahaja dari negara Islam, bahkan negara dengan populasi minoriti Muslim juga sudah menunjukkan minat dan perhatian terhadap segmen itu.

 

“Antaranya Thailand, Singapura, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan dan Australia sejak kebelakangan ini giat memajukan strategi menarik ramai pelancong Islam sejagat,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara ITC serta Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (Ipdas) yang diwakili Jakim secara maya hari ini.

 

Menerusi MoU julung kali itu, mereka akan membangunkan modal insan dan menambah baik program serta kurikulum berkaitan industri pelancongan Islam di peringkat pengajian tinggi.

 

Mengulas lanjut, Noor Zari berkata, inisiatif terbaharu itu tepat pada masanya kerana Malaysia masih unggul sejak 2011 lagi sebagai destinasi percutian mesra Muslim yang terbaik di dunia dengan berjaya diiktiraf teratas dalam MasterCard Crescentrating Global Muslim Travel Index pada sidang kemuncak Global Halal Travel 2021 bulan lalu.

 

Pencapaian luar biasa ini katanya, hasil komitmen berterusan kerajaan aktif mengembangkan lagi pelancongan Islam melalui inisiatif panduan standard, pensijilan halal dan tenaga terlatih.

 

Bagaimanapun tegasnya, Malaysia tidak boleh berpuas hati begitu sahaja kerana negara luar mula menawarkan fasiliti makanan halal, ruang ibadah dan sebagainya yang lebih menarik.

 

Sehubungan itu, Pelan Strategik ITC bagi tempoh 2021 hingga 2025 dijadikan asas sokongan kelestarian sektor pelancongan Islam melalui kerjasama strategik dengan pemain industri sebagai persediaan pembukaan pasaran percutian sejagat pasca pandemik yang diramal pelbagai badan antarabangsa akan melonjak 86 peratus.

 

“Ini bermakna Malaysia perlu siap siaga lebih awal dengan sudah ada ramai modal insan dalam menjayakan segmen pelancongan mesra Muslim yang besar potensinya,” kata beliau. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *