KUALA LUMPUR – Malaysia akan menjadi negara pertama memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin yang menekankan Islam sebagai agama rahmah dan memberikan kebaikan kepada semua.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, berkata dasar itu perlu difahami dengan betul dan mendalam bagi mengelakkan pihak tertentu salah tafsir mengenai objektif konsep berkenaan.
“Cabaran terbesar berkaitan pelaksanaan Rahmatan Lil Alamin membabitkan dua kumpulan berbeza.
“Kumpulan pertama yang ‘bersorak’ mengenai dasar Islam tanpa pemahaman mendalam yang secara tidak langsung mendorong kepada perbuatan diskriminasi terhadap golongan bukan Islam.
“Selain itu, kita (kerajaan) berdepan dengan kumpulan yang takut dengan usaha memperkasakan Islam. Mereka yang digelar sebagai kumpulan Islamophobia sentiasa melihat sebarang agenda membabitkan Islam sebagai ‘ugutan’ kepada hak asasi dan kebebasan manusia,” katanya.
Teks ucapan Mujahid dibacakan oleh Timbalannya, Fuziah Salleh pada Majlis Makan Malam bersama Setiausaha Agung Komanwel, Patricia Scotland; pegawai kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), di sebuah hotel, di sini, pada 12 Februari. – Berita Harian
KOMEN