Home » Langit Terbuka » Malaysia negara ketiga rakyat kurang bercuti

Malaysia negara ketiga rakyat kurang bercuti

Kajian mendapati, Malaysia adalah negara ketiga di dunia yang paling kurang bercuti di luar negara dan yang kedua di Asia Pasifik.

APABILA industri pelancongan global semakin berkembang ramai menjadikan aktiviti percutian sebagai program gaya hidup menyeronokkan.

Hakikatnya, bukan semua orang mampu dan ada sebab tertentu mereka tidak bercuti seperti kekangan kewangan dan sibuk dengan tugas.

Kajian Percutian Expedia, menerusi laman web percutian, Expedia.com, tahun lalu terhadap 15,000 orang yang bekerja membabitkan 30 negara di seluruh dunia, mendapati 53 peratus mereka kurang bercuti.

Jumlah itu meningkat berbanding kajian sama pada tahun lalu, iaitu 49 peratus.

Kajian mendapati, Malaysia adalah negara ketiga di dunia yang paling kurang bercuti di luar negara dan yang kedua di Asia Pasifik.

Secara keseluruhan kajian mendapati, di negara Asia Pasifik mendahului senarai benua paling kurang bercuti

Jika dibandingkan dengan benua Amerika dan Eropah, Asia Pasifik mendahului senarai sebagai penduduk di benua yang paling kurang bercuti.

Kajian itu menunjukkan Korea Selatan berada di tangga teratas sebagai negara yang paling kurang bercuti dengan peratusan tertinggi sebanyak 81 peratus pekerja rasa hilang nikmat percutian.

Pengurus Besar Expedia Southeast Asia dan India, Simon Fiquet, berkata kajian mendapati, dua daripada tiga atau 65 peratus daripada rakyat Malaysia kurang pergi bercuti.

“Sebanyak 52 peratus pekerja di Malaysia dilaporkan terpaksa membatalkan rancangan percutian kerana tugasan di tempat kerja manakala 37 peratus mengambil semua cuti tahunan.

“Ini sekali gus menunjukkan penduduk di negara ini perlu menetapkan semula keseimbangan kerja dan kehidupan luar,” katanya.

Punca rakyat Malaysia tidak mengambil cuti di luar negara kerana isu kewangan dan kemampuan, iaitu meliputi 35 peratus.

Kira-kira 31 peratus rakyat Malaysia menyimpan waktu cuti untuk digunakan kemudian jika diperlukan dan 26 peratus atas sebab tidak dapat melepaskan kerja (26 peratus)

Kajian itu jelas menunjukkan rakyat Malaysia tidak dapat menikmati percutian mereka sepenuhnya.

“Ini sebenarnya memberi implikasi kepada majikan dan pekerja. Jika diperuntukkan masa berkualiti masing-masing dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja yang lebih baik.

“Jika dapat bercuti mereka lebih tenang dan menyeronokkan sekali gus dapat memberi keseimbangan pada kerja dan kehidupan seharian,” katanya.

Kajian itu juga mendapati, lebih satu pertiga rakyat Malaysia atau 35 peratus masih bekerja menyemak e-mel dan peti suara berkaitan kerja masing-masing sekurang-kurangnya sekali sehari ketika sedang bercuti.

Daripada jumlah itu, 38 peratus rasa tertekan selepas melakukannya manakala 72 peratus lagi mempercayai percutian adalah hak mereka tanpa sebarang gangguan.

Kajian juga mendapati 49 peratus rakyat Malaysia bersetuju percutian penting bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan yang baik dan kesejahteraan secara umum.

Dari segi meningkatkan sesuatu hubungan dalam institusi kekeluargaan dan persahabatan, kajian menunjukkan 47 peratus bersetuju. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *