Home » Langit Terbuka » Malaysia lalui banyak cabaran, mampu bangun ke landasan betul

Malaysia lalui banyak cabaran, mampu bangun ke landasan betul

Perdana Menteri berkata, tidak ada orang lain yang boleh menentukan nasib negara. Rakyat Malaysia lah yang perlu berjuang untuk mencapai matlamat negara tercinta

KOTA KINABALU – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui banyak cabaran telah dilalui Malaysia, namun, negara mampu bangun dan kembali ke landasan betul selepas terpesong daripada hala tuju yang sepatutnya dicapai.

Beliau berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 membuktikan keupayaan kita untuk bangun setelah terpesong dari landasan yang telah kita bina bertahun-tahun yang lalu.

“Walaupun kita telah terpesong amat jauh beberapa tahun kebelakangan ini dan kerosakan akibatnya amat besar dan susah untuk dibaiki, namun, kita tidak ada pilihan melainkan terus berusaha memulihkan keadaan.

“Mahu tidak mahu kita perlu membetulkan kerosakan tersebut kerana jika kita mengalah dan membiarkan ia berterusan, nilai kita sebagai sebuah negara yang bebas lagi berdaulat akan hilang.

“Ini bermakna kita telah membenarkan mereka yang telah mengkhianati negara kita menang. Ini tidak boleh kita benarkan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia ke-55 di Padang Merdeka di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, yang juga Pengerusi Induk Sambutan Hari Malaysia 2018, serta menteri kabinet Persekutuan dan negeri.

Dr Mahathir berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini cukup bermakna kerana tidak hanya bebas daripada penjajahan kuasa asing tetapi juga daripada kezaliman pemerintahan kerajaan terdahulu yang kleptokrasi dan kuku besi.

“Kita telah melalui cabaran pada 1957 dan 1963 dengan jayanya. Dan kita tetap berjaya menangani cabaran 2018, Insya-Allah.

“Ini negara kita. Kitalah yang akan menentukan nasib kita. Tidak ada orang lain yang boleh menentukan nasib kita. Bangunlah dan berjuanglah untuk mencapai matlamat negara tercinta ini,” kata beliau. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *