Home » Langit Terbuka » Malaysia kutuk segala bentuk keganasan – Anwar

Malaysia kutuk segala bentuk keganasan – Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia menolak sekeras-kerasnya segala bentuk keganasan dan mengutuk tindakan membunuh insan tidak berdosa serta menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan di Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam bahasa Inggeris untuk khalayak antarabangsa pada persidangan Dewan Rakyat dengan kebenaran Yang Dipertua dewan hari ini, Anwar berkata Malaysia juga mengutuk tindakan pengeboman terhadap orang awam, kediaman dan hospital serta pembunuhan beramai-ramai insan yang tidak berdosa, kanak-kanak, wanita dan lelaki yang dilakukan siang dan malam oleh tentera Israel.

“Biar semua jelas, negara Zionis Israel adalah kuasa penjajah dan oleh itu ia tertakluk di bawah undang-undang antarabangsa… perbuatan jenayah ini jelas melanggar norma undang-undang antarabangsa. Tindakan Israel, pemotongan bekalan makanan, air, bantuan kemanusiaan dan elektrik adalah melanggar undang-undang antarabangsa,” kata beliau.

Anwar berkata situasi di Palestin adalah suatu peringatan bahawa perjuangan untuk keadilan tidak mengenal sempadan dan Malaysia mesti bersatu dalam solidariti dengan semua rakyat yang tertindas.

Perdana Menteri berkata kredibiliti sistem antarabangsa itu sendiri dipertaruhkan dan Malaysia mesti menyuarakan pendapatnya dan menggalakkan orang lain berbuat demikian bagi memelihara sistem itu yang bertujuan untuk menegakkan keamanan dunia.

“Adalah suatu yang bodoh untuk berfikir bahawa Malaysia tidak terjejas dengan apa yang berlaku di dunia. Kita adalah negara perdagangan yang terlibat secara aktif dalam aktiviti komersial dan ekonomi serantau dan antarabangsa, secara proaktif menarik FDI (pelaburan langsung asing) untuk memacu kemajuan ekonomi kita. Jadi, Malaysia terikat dengan apa yang berlaku di mana-mana di dunia.

“Kita telah memulakan tugas yang sukar, yang telah lama diabaikan, jadi biar saya jelaskan, kita akan kekal sebagai negara yang sangat bebas dan terus menyatakan hak dan pendirian kita dalam isu keadilan dan kebebasan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata beliau.

Anwar berkata perang itu bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam tetapi juga Kristian di Palestin, tetapi media Barat jarang menampilkan wajah masyarakat dan cenderung untuk menyampaikan imej mereka sebagai penonton di negara itu.

Beliau berkata ini salah kerana orang Kristian Palestin telah menjadi mangsa sama seperti saudara Islam mereka, dan mereka juga telah dihalau keluar dari bandar bersejarah mereka dalam jumlah yang besar.

Anwar berkata punca asas adalah pendudukan haram Israel serta dasar apartheid dan dalam sejarah keji ini dan kisah kekejaman, penindasan dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan, komuniti Islam dan Kristian Palestin sama-sama menjadi mangsa.

“Bagi mereka yang terus berfikir atau mencadangkan bahawa kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin hanya memberi kesan kepada umat Islam, hendaklah diingatkan bahawa komuniti Kristian paling lama di dunia menetap di Palestin, berjumlah 47,000, berdasarkan bancian yang dijalankan pada 2017.

“Perkara yang saya ingin nyatakan di sini ialah terdapat hubungan sosiobudaya dan rohani yang kuat antara masyarakat Islam dan Kristian yang memberikan identiti kolektif rakyat Palestin yang unik.

“Bagaimanapun, kerajaan Zionis Israel bersungguh-sungguh menegakkan konsep yang memberi tanggapan negara Yahudi  terkepung oleh populasi penduduk Islam yang mengancam kewujudan mereka,” kata beliau. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *