KUALA LUMPUR – Negara-negara berkuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) tidak boleh menentukan pendirian Malaysia dalam mengutuk serangan Israel terhadap Palestin, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, ketegasan itu disuarakan di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ketika Persidangan Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di AS baru-baru ini.
“Saya bangkitkan soal penindasan berterusan… dalam sidang akhir (persidangan) itu. Saya tiada pilihan dan menyuarakan dengan tegas bahawa kita diminta untuk mengutuk Rusia dalam soal Ukraine tapi membisu tentang pembunuhan kejam, keganasan (berlaku di Palestin).
“Dia (AS) tak boleh menentukan kita menyatakan pendirian… saya kata, mesti bermula dengan sekurang-kurangnya hentikan serangan sekarang, kerana saya sebut, satu hari tambahan, bermakna masih ada anak-anak, wanita dan orang awam akan dijadikan mangsa korban,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar berkata demikian menjawab kepada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta beliau menyatakan hasil mesyuarat Persidangan Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Arab Saudi mengenai jenayah dan pembasmian kaum (genocide) yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin, dan apakah hasil yang memanfaatkan negara sepanjang lawatan ke Persidangan APEC di AS baru-baru ini.
Anwar menambah, pendirian tegas Malaysia itu bagaimanapun tidak menjejaskan ekonomi dan pelaburan asing, khususnya dari AS kerana pelabur utama termasuk Google Inc dan Microsoft Inc masih memberi keutamaan kepada Malaysia berdasarkan kestabilan politik, dan dasar ekonomi kerajaan yang jelas.
Katanya, ini terbukti apabila Malaysia berjaya membawa pelaburan langsung asing berjumlah RM63.02 bilion hasil ruang yang dimanfaatkan oleh wakil kerajaan termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk pertemuan dengan pelabur asing sepanjang persidangan itu.
“Ada yang melahirkan kebimbangan bahawa sikap tegas kita berdepan dengan AS dan negara Eropah itu akan menjejaskan kedudukan ekonomi kita.
“Setakat ini, saya ingin berikan jaminan bahawa (setelah) menemui beberapa pelabur utama AS, nampaknya keutamaan masih diberikan berdasarkan politik yang stabil, dasar ekonomi yang jelas dan kaedah mempercepatkan proses kelulusan yang sekarang dikendalikan oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia),” katanya.
KOMEN