Putrajaya: Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Israel pada 13 Ogos.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu berkata perbuatan keji ini yang dilakukan di bawah perlindungan pasukan keselamatan Israel, merupakan pencerobohan serius terhadap satu daripada tapak paling suci Islam.
“Malaysia amat marah dengan provokasi ini, yang menafikan hak rakyat Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa tetapi juga tidak menghormati umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
Ini merupakan pencerobohan keenam terhadap pekarangan Masjid Al-Aqsa yang dilindungi oleh pihak berkuasa Israel sejak akhir tahun 2022.
Pencerobohan yang berulang kali ini jelas menunjukkan sikap tidak peduli yang berterusan terhadap tapak keagamaan yang suci ini, dan dilihat sebagai sebahagian daripada percubaan terancang Israel untuk menggugat status undang-undang Baitulmuqaddis dan Al-Haram Al-Sharif, yang juga akan menambah ketegangan di rantau Timur Tengah.
Ia berkata provokasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan yang sudah sedia tidak menentu, tetapi juga menunjukkan sikap Zionis Israel yang tidak ambil peduli seruan antarabangsa untuk keamanan.
“Israel jelas tidak menghiraukan proses damai, yang disokong oleh majoriti negara bertamadun. Malaysia dengan tegas menentang sebarang percubaan rejim Zionis Israel untuk mengubah status sejarah dan undang-undang Baitulmuqaddis dan tempat-tempat sucinya,” kata kementerian itu.
Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab sepenuhnya di atas percubaan berterusan dan sistematik untuk mengubah status Masjid Al-Aqsa.
“Tindakan segera dan tegas adalah penting untuk mengelakkan keadaan di Tebing Barat dan Gaza daripada menjadi semakin meruncing.
“Kegagalan untuk bertindak balas hanya akan memburukkan lagi krisis sedia ada,” katanya.
Kementerian itu berkata Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel supaya menghentikan serangan genosid di Gaza.
“Malaysia kekal bersolidariti dengan rakyat Palestin dan akan meneruskan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk keamanan.
“Malaysia berpegang teguh kepada status Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif sebagai tapak suci bagi umat Islam dan menegaskan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya,” katanya.
KOMEN