Home » Langit Terbuka » Malaysia, Indonesia pelihara persaudaraan gerakan, pertubuhan Islam

Malaysia, Indonesia pelihara persaudaraan gerakan, pertubuhan Islam

Perdana Menteri berkata, siri pertemuan dan diskusi akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari Malaysia dan Indonesia. - Foto FB YAB Perdana Menteri

PETALING JAYA – Malaysia dan Indonesia akan terus memperkukuhkan kerjasama erat menerusi siri pertemuan dan diskusi dalam memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam kepadatan jadual sebelum bermula Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 dan sidang-sidang kemuncak di Jakarta, beliau sempat berdiskusi dan bertukar pandangan dengan pimpinan gerakan dan pertubuhan Islam di Indonesia semalam.

“Pertemuan ini amat bermakna tatkala kami menghimbau garis sejarah permulaan saya sebagai aktivis yang pernah belajar daripada hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka.

“Dalam perbincangan ini, kami banyak menyentuh tantangan pemikiran, keilmuan, dakwah dan isu yang dihadapi dunia Islam.

“Siri pertemuan dan diskusi seperti ini akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara,” katanya pada hantaran Facecook pada 5 September.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan ke atas Ketua Umum Muhammadiyah, Bapak Haedar Nashir; Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Dr. Adian Husaini dan Prof. Din Syamsuddin yang turut hadir bersama dengan 11 organisasi termasuk Ibu Khofifah Indar Parawansa, Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU) serta Gabenor Jawa Timur.

Terdahulu media melaporkan, Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, bagi menyertai pemimpin-pemimpin serantau lain sempena Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba dengan disambut kalungan bunga oleh Menteri Komunikasi dan Informatika, Budi Arie Setiadi, serta diberi penghormatan kawad tentera oleh tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *